PALANGKA RAYA – Risiko kebakaran hutan dan tanah dijangka berterusan di beberapa kawasan di Indonesia sehingga awal Oktober susulan fenomena El Nino dengan intensiti tinggi diramalkan memanjangkan keadaan kering dan menyebabkan taburan hujan kekal rendah di sebahagian besar negara itu.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) memaklumkan keadaan atmosfera yang agak kering masih ketara khususnya di beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan di mana kepekatan titik panas yang tinggi dikesan sejak 10 hari lalu.
“Dengan keadaan kering yang semakin berlarutan, orang ramai dan pemerintah wilayah digesa agar menjimatkan penggunaan air serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi ancaman kemarau dan kebakaran hutan serta tanah,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Operasi mengawal api daripada marak diteruskan di beberapa lokasi yang merekodkan kemunculan titik panas baharu. Foto AFP
BMKG meramalkan hujan di kebanyakan kawasan Indonesia kekal pada tahap rendah hingga sederhana hingga awal Oktober. Bagaimanapun, hujan lebat setempat masih boleh berlaku apabila keadaan atmosfera jangka pendek menggalakkan pembentukan awan di sesetengah kawasan.
Dalam unjuran musim hujan 2026/2027, BMKG memaklumkan lebih 60 peratus kawasan daratan Indonesia dijangka mengalami permulaan musim hujan lebih lewat berbanding purata jangka panjang bagi kawasan masing-masing.
Sebahagian besar kawasan dijangka mula memasuki musim hujan pada November atau Disember depan.
Timbalan Ketua BMKG bagi Klimatologi, Ardhasena Sopaheluwakan berkata, musim hujan berkenaan turut diramalkan lebih singkat daripada kebiasaan, namun keadaan itu tidak semestinya bermakna jumlah taburan hujan akan lebih rendah.
“Musim hujan 2026/2027 secara amnya dijangka mempunyai jumlah hujan pada paras normal,” ujarnya.
Menurut beliau, sesetengah kawasan berkemungkinan menerima taburan hujan melebihi paras normal, manakala sebahagian kecil kawasan pula diramalkan mengalami keadaan lebih kering daripada biasa.
BMKG turut menjangkakan kemuncak musim hujan antara Disember hingga Februari meskipun tempohnya berbeza mengikut kawasan di seluruh negara.
Agensi itu menggesa pihak berkuasa memperkukuh sistem saliran dan bersedia menghadapi risiko banjir kilat serta tanah runtuh ketika Indonesia beralih daripada tempoh kering berpanjangan kepada musim hujan luar biasa.
Haiwan turut terjejas
Kebakaran hutan dan tanah telah memusnahkan hampir 660 hektar kawasan di Taman Negara Way Kambas di Lampung Timur, Sumatera dan Taman Negara Gunung Merapi di Magelang, Jawa Tengah.
Sebahagian besar kebakaran berjaya dikawal, namun pasukan gabungan operasi masih meneruskan pemantauan dan rondaan berikutan terdapat bara api dikesan di beberapa lokasi.
Kedua-dua taman negara berkenaan merupakan destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi. Way Kambas terkenal sebagai kawasan pemuliharaan gajah Sumatera serta pelbagai spesies hidupan liar terancam manakala Gunung Merapi, antara gunung berapi paling aktif menjadi tarikan pengunjung menerusi landskapnya yang menakjubkan.

Seekor orang utan bersama anaknya diselamatkan selepas lemas akibat asap tebal di Ketapang, Kalimantan Barat. Foto Agensi
Di lokasi lain, kebakaran turut memusnahkan kira-kira 280 hektar kawasan berhampiran kaki Gunung Klabat di Minahasa Utara, Sulawesi Utara, selain kira-kira 127 hektar di Lombok Utara, Nusa Tenggara Barat. Operasi pemadaman di kedua-dua kawasan itu masih giat dijalankan.
Kebakaran hutan turut memberi tekanan terhadap populasi orang utan Borneo yang kini berdepan ancaman kepupusan kritikal. Menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), pendedahan kepada kebakaran dan asap memberi kesan terhadap aspek fisiologi, tingkah laku serta ekologi orang utan yang mendiami habitat hutan gambut.
Setakat 22 September, kira-kira 100 ekor haiwan termasuk 53 orang utan telah diselamatkan daripada kawasan yang musnah dijilat api.
Berdasarkan data pemerintah, lebih 202,000 hektar kawasan daratan dilaporkan terbakar di seluruh negara antara Januari hingga Julai. Bagaimanapun, angka itu jauh lebih rendah berbanding anggaran projek Nusantara Atlas yang merekodkan hampir 900,000 hektar kawasan terbakar dalam tempoh sama. – Agensi



