am@hmetro.com.my
Port Dickson: Penganjuran Pertandingan Pantun DRB-HICOM bersama Harian Metro adalah satu ‘pelaburan’ bersama rakan strategik untuk pembangunan sahsiah serta potensi generasi muda.
Ketua Pegawai Komunikasi DRB-HICOM Berhad, Cairil Irwan Amir berkata, pihaknya berasa amat bangga kerana dapat menganjurkan pertandingan seperti ini bersama Harian Metro.
“Tetapi bukan semata-mata kerana menganjurkan pertandingan. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, DRB-HICOM amat menitik beratkan usaha yang dapat membantu membangunkan pendidikan dan kebolehan generasi muda kita.
“Kami percaya masa depan negara memerlukan generasi yang bukan sahaja berilmu tetapi yakin, berani berfikir dan mereka yang mampu berkomunikasi dengan baik.
“Melalui pantun, nilai ini dapat diasah. Adik-adik kita dapat dilatih, cuma latihan yang dilalui bukanlah dalam bilik darjah,” katanya ketika berucap pada Pertandingan Pantun DRB-HICOM dan Harian Metro Peringkat Akhir Zon Selatan.
Bertempat di Dewan Pusat Latihan DRB-HICOM, di sini, peringkat kemuncak ini menyaksikan tiga finalis, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anjung Batu (Johor), SMK Ghafar Baba (Melaka) dan Kolej Permata Insan (Negeri Sembilan) berentap menerusi format persembahan ‘Pantun Lakon’.
Ujar beliau lagi, pantun yang disusun beberapa minggu ini berpusatkan peribahasa, namun pantun yang dipersembahkan ini turut menyentuh aspek perniagaan Kumpulan DRB-HICOM.
“Secara tidak langsung, kami memperkenalkan DRB-HICOM kepada generasi seterusnya melalui pantun. Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memperluas pengalaman pelajar dari seni ke teknologi, dari pentas menuju ke industri sebenar.
“Agak jarang pantun dikaitkan dengan industri dan teknologi. Tetapi pertandingan ini membuktikan satu perkara, minat terhadap industri dan teknologi boleh lahir dengan cara yang tidak disangka-sangka. Kadangkala, ia boleh bermula dengan cuma serangkap pantun.
Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit berkata, kejayaan penganjuran pertandingan ini membuktikan Harian Metro menjadi ‘jambatan utama’ yang menghubungkan syarikat korporat dengan agensi kerajaan.
“Hubungan persahabatan dan kerjasama strategik antara Harian Metro dan DRB-HICOM yang sudah terjalin utuh sejak sekian lama, bermula daripada program CSR, Harian Metro bersama DRB-HICOM mengorak langkah lebih jauh menerusi penganjuran pertandingan pantun yang menjadi pusaka bangsa ini.
“Harian Metro amat bangga berpeluang memegang peranan sebagai jambatan utama yang menghubungkan rakan korporat dengan dunia pendidikan, mahupun agensi kerajaan dan komuniti setempat, supaya setiap usaha murni yang dirancang dapat memberikan impak positif yang nyata secara terus kepada masyarakat,” katanya.
Ujar beliau, selain memaparkan berita semasa, komitmen berterusan Harian Metro ialah memperkasakan agenda pendidikan negara dengan mewujudkan ruangan pendidikan menerusi segmen ‘Akademia’ yang disiarkan pada setiap hari Isnin di akhbar Harian Metro.
“Ruangan ini khusus menyiarkan berita-berita berkaitan pendidikan rendah hingga ke peringkat universiti, berita teknologi, vokasional, inovasi dan sebagainya.
“Kami mahu isu pendidikan semasa ini sampai ke semua peringkat bagi memastikan maklumat dan inspirasi pendidikan negara sentiasa sampai kepada masyarakat secara menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Abang Haliman Abang Julai berkata, penganjuran ini membuktikan bahawa usaha memartabatkan bahasa dan sastera menuntut kebersamaan semua pihak.
“Kesediaan sektor korporat, media dan agensi kerajaan untuk berganding bahu amat bermakna dalam memastikan khazanah bangsa terus hidup, berkembang dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
“Kemajuan sesebuah bangsa tidak boleh diukur melalui kecanggihan teknologi semata-mata. Teknologi membina keupayaan, bahasa membina pemikiran, manakala sastera memperhalus nilai kemanusiaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




