am@hmetro.com.my
Shah Alam: Perbahasan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dalam persidangan Dewan Negeri Undangan Negeri (DUN) Selangor mencerminkan keterbukaan dan ketelusan kerajaan negeri dalam isu keselamatan awam.
Speaker DUN Selangor, Lau Weng San berkata, perbahasan yang disertai sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang itu juga mencerminkan amalan demokrasi yang sihat.
“Sidang dewan ini terbuka dan disiarkan secara langsung. Kita memang cukup terbuka, setiap hari (sidang) disiarkan di media sosial,” katanya pada sidang media di Wisma Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau berkata, tahap kualiti perbahasan insiden berkenaan sangat baik dengan penyertaan aktif dan input bernas wakil rakyat ketika berhujah serta menjawab pelbagai persoalan.
Semalam, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari membawa usul kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights dalam sidang DUN dan dibahaskan beberapa ADUN antaranya, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkang) dan Datuk Dr Ab Halim Tamuri (PN-Paya Jaras), Muhammad Izuan Kassim (PH-Kota Damansara), Wan Dzahanurdin Ahmad (PN-Sungai Kandis) dan G Gunaraj (PH-Sentosa).
Insiden itu berlaku 1 April lalu itu menyebabkan banyak kemusnahan selepas api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa lapan jam untuk padam sepenuhnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd