Red Bull pecat Horner

Red Bull pecat Horner

London: Christian Horner dipecat oleh Red Bull selepas 20 tahun memegang jawatan sebagai Prinsipal pasukan Formula Satu (F1) itu.

Pengendali berusia 51 tahun itu mengetuai pasukan sejak ia ditubuhkan pada 2005 dan membawa mereka merangkul lapan gelaran pemandu serta enam kejuaraan pengeluar.

Pemandu Belanda, Max Verstappen, memenangi empat gelaran pemandu terakhir bersama Red Bull, menyamai pencapaian Sebastian Vettel yang mendominasi bersama pasukan itu dari 2010 hingga 2013.

Pemecatan Horner sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan prinsipal pasukan berlaku selepas 17 bulan beliau dituduh berkelakuan tidak senonoh oleh seorang rakan sekerja wanita.

Bagaimanapun, dia dua kali dibebaskan daripada tuduhan berkenaan oleh syarikat induk pasukan F1 itu, Red Bull GmbH, dan isterinya yang juga bekas ahli kumpulan Spice Girls, Geri Halliwell, tetap menyokongnya.

Namun, terdapat desas-desus ketidakpuasan hati dalam pasukan itu, termasuk beberapa penyingkiran berprofil tinggi, manakala prestasi di litar pula merudum.

“Red Bull melepaskan Christian Horner daripada tugas operasinya berkuat kuasa hari ini (Rabu) dan melantik Laurent Mekies sebagai CEO Red Bull Racing,” kata satu kenyataan daripada Red Bull GmbH.

Oliver Mintzlaff, CEO Projek Korporat dan Pelaburan, turut merakamkan penghargaan kepada Horner atas “kerja cemerlangnya”.

“Dengan komitmen tidak berbelah bahagi, pengalaman, kepakaran dan pemikiran inovatifnya, beliau memainkan peranan penting dalam menjadikan Red Bull Racing sebagai salah satu pasukan paling berjaya dan menarik dalam F1.

“Terima kasih atas segalanya, Christian, dan anda akan kekal sebagai sebahagian penting dalam sejarah pasukan kami,” katanya.

Pemergian Horner berlaku ketika spekulasi timbul bahawa Verstappen mungkin berminat untuk berhijrah ke Mercedes.

Walaupun pemandu Belanda berusia 27 tahun itu memenangi gelaran musim lalu, dia hanya menjuarai dua perlumbaan daripada 14 perlumbaan terakhir musim ini.

Red Bull setakat ini hanya menang dua perlumbaan musim ini, dengan McLaren kini mengambil alih sebagai pasukan yang perlu ditewaskan.

Verstappen kini ketinggalan 69 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Oscar Piastri, menjelang separuh kedua musim, malah sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima pada Grand Prix Britain, Ahad lalu, biarpun bermula dari petak pertama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top