am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Kegiatan penyelewengan minyak bersubsidi terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menumpaskan dua operasi berasingan di Pulau Gaya dan Lok Kawi, di sini, hari ini.
Dalam serbuan kira-kira jam 9.30 pagi di perairan Pulau Gaya, bot ronda RH29 menahan sebuah bot sebelum pemeriksaan menemukan 23 jerikin berisi kira-kira 570 liter petrol dipercayai disimpan tanpa permit sah.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis Ahmad Amri Abd Rahman berkata, nilai keseluruhan rampasan dalam kes itu dianggarkan RM302,225.90.
Menurutnya, kira-kira sejam kemudian, hasil risikan membawa kepada serbuan di sebuah stor di Lok Kawi, Papar yang disyaki dijadikan lokasi penyimpanan minyak diesel.
“Hasil pemeriksaan menemukan sebuah kenderaan Isuzu D-Max yang diubah suai, sebuah Toyota Hilux, skid tank, tangki IBC serta kira-kira 4,000 liter minyak diesel tanpa dokumen sah.
“Nilai rampasan dalam kes kedua dianggarkan RM249,430,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes ialah RM551,655.90, manakala empat lelaki warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




