Lelaki rugi RM415,000 ditipu tawaran permit haji, perniagaan hotel di Makkah

Lelaki rugi RM415,000 ditipu tawaran permit haji, perniagaan hotel di Makkah

Kuching: Polis mengesahkan seorang lelaki warga tempatan kerugian RM415,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan melibatkan tawaran pengeluaran permit haji dan perniagaan hotel di Makkah.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, mangsa berusia 62 tahun berkenalan dengan seorang suspek lelaki pada 30 Oktober 2024 di sebuah restoran di kawasan Clock Tower, Makkah.

“Suspek menawarkan bantuan mendapatkan permit haji selain peluang menyertai perniagaan hotel bagi penginapan jemaah semasa musim haji dan umrah di Makkah.

“Tertarik dengan tawaran berkenaan, mangsa telah melakukan enam transaksi pembayaran secara dalam talian ke dua akaun bank berbeza,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata, pembayaran pertama dibuat pada 10 November 2024 ketika mangsa berada di kediamannya di Kuching.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM415,000. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top