Bahaya angin baratan, waspada jika mahu berkhemah!

Bahaya angin baratan, waspada jika mahu berkhemah!

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jangan ambil mudah impak dan amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung kesan angin baratan yang melanda negara sehingga esok.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia, Aminurrahim Mohamed berkata, pihaknya mengingatkan orang ramai lebih berwaspada terhadap impak angin kencang dan hujan lebat yang boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh, kepala air, kerosakan struktur dan pokok tumbang.

“Ia bukan sahaja boleh berlaku di kawasan rekreasi awam tetapi juga boleh berlaku di kawasan awam dan kediaman.

“APM menyeru orang ramai sentiasa mengamal dan mengambil langkah keselamatan awal sekiranya berhasrat untuk berkhemah atau beriadah di kawasan jeram, air terjun atau kawasan rekreasi air yang bukan di kawasan rekreasi awam,” katanya.

Beliau berkata, antara langkah utama perlu dilakukan adalah dengan melaporkan sebarang aktiviti dan pergerakan yang hendak dilakukan di balai polis berhampiran selain memastikan diri dan ahli keluarga dalam keadaan sihat.

“Orang ramai juga digesa sentiasa mengambil tahu mengenai situasi cuaca di lokasi dituju dan memastikan kawasan perkhemahan didirikan di tapak dan jarak yang selamat dari gigi air.

“Ini bagi memastikan individu yang berkhemah mempunyai tempoh masa mencukupi untuk menyelamatkan diri jika berlakunya kenaikan paras air drastik,” katanya.

Dalam masa yang sama, kepekaan diri pekhemah perlu dititikberatkan untuk mengawasi aktiviti ahli keluarga terutama anak-anak di dalam air serta mengesan sebarang perubahan air seperti paras ketinggian, warna, kederasan dan keberadaan puing-puing asing yang timbul di permukaan air.

“Perubahan ini adalah antara indikator untuk mengesan sebarang kemungkinan bahaya yang boleh berlaku dan membolehkan individu terbabit mengambil langkah keselamatan awal mencegah berlakunya kejadian kepala air seperti di Jeram Mawar Air Putih, Kemaman kelmarin.

10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Mawar, di sini pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

“Justeru, pihak APM suka mengingatkan bahawa keselamatan diri dan keluarga terletak di tangan masing-masing dan persediaan untuk mendapatkan sebarang maklumat dan kemahiran keselamatan diri amatlah penting termasuk melalui pelbagai program keselamatan yang boleh diperolehi dengan menghubungi pejabat APM yang berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top