
Pemain Bahrain diasak pemain Malaysia pada perlawanan di antara Malaysia menentang Bahrain peringkat kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu. Foto: Bernama
[DIKEMAS KINI] HARIMAU Malaya terpaksa akur tewas 0-1 kepada pasukan di ranking ke-86 dunia, Bahrain dalam aksi Kumpulan E di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu.
Gol masa kecederaan jaringan Ali Madan memusnahkan hasrat skuad kendalian Kim Pan-gon untuk meraih keputusan positif dalam perlawanan itu sekali gus menutup peluang mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Skuad negara yang melakukan empat pertukaran dalam kesebelasan utama tampil dengan persembahan lebih baik berbanding ketika tewas 0-4 kepada Jordan dalam perlawanan pertama baru-baru ini.
Separuh masa pertama, pasukan kendalian Kim Pan-gon berjaya mengekang gerakan Bahrain selain terhasilnya beberapa peluang menjaringkan gol melalui gandingan Arif Aiman Mohd Hanapi, Faisal Halim dan Paulo Josue.



