Baiki 300 motosikal mangsa banjir secara percuma

Baiki 300 motosikal mangsa banjir secara percuma

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Terkesan dengan penderitaan penduduk Sri Medan di sini yang terjejas teruk akibat banjir mendorong 12 pemilik bengkel motosikal dan kereta bersama kira-kira 50 sukarelawan dari Kluang menjayakan misi membaiki motosikal secara percuma.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Amal Kilat Kluang (PKAKK) Aziz Md Aziz berkata, sebanyak RM25,000 hasil keuntungan perniagaan masing-masing berjaya dikumpulkan bagi menyediakan perkhidmatan menukar minyak enjin dan palam pencucuh motosikal.

Katanya, program dua hari bermula semalam itu berjaya membaik pulih 300 motosikal penduduk yang tenggelam akibat banjir.

“Program ini bertujuan meringankan beban penduduk yang terjejas banjir baru baru ini dan Sri Medan dipilih kerana menjadi salah satu kawasan paling teruk.

“Dengan hastag #KluangMari Kami berkonvoi menaiki motosikal, kereta dan kereta pacuan empat roda ke Sri Medan dari Kluang dan bermalam di rumah penduduk kampung.

“Ini adalah kali ketiga program misi bantuan pasca banjir seperti ini dilakukan selepas misi sama ke Sri Muda pada 2021 dan Kampung Labohan Dagang, Banting, Selangor pada tahun lepas,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Basri Sri Medan, sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Kampung Parit Basri Sri Medan, Selamat Miskon.

Dalam pada itu, Selamat berkata, pihaknya terharu dengan sumbangan kumpulan anak muda berkenaan yang bertungkus lumus berkorban masa, tenaga dan wang ringgit bagi membantu penduduk yang sedang ditimpa ujian.

Katanya, bBanjir kali ini menenggelamkan 93 rumah membabitkan anggaran kira-kira 470 penduduk.

“Masuk hari ini dalam 10 tenggelam dan kami menumpang di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Sejati dan Sekolah Kebangsaan Parit Bilal Bukit Pasir.

“Keperluan utama penduduk ketika ini adalah barang makanan dan kelengkapan rumah kerana memang semua rumah tenggelam air banjir dan ketika ini keadaan air banjir termenung sudah masuk 10 hari.

“Jika air surut, kami amat memerlukan bantuan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO ) untuk sama sama membantu membersihkan kediaman penduduk,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd