Zahid jawab dakwaan campur tangan luar dalam lantikan MB, enggan layan ‘kenyanyukan seseorang’

Zahid jawab dakwaan campur tangan luar dalam lantikan MB, enggan layan ‘kenyanyukan seseorang’

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan dakwaan kononnya wujud campur tangan pihak luar dalam pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai kenyataan daripada individu yang tidak memahami realiti politik.

Memetik laporan Sinar Harian, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, sebagai pengerusi gabungan itu di peringkat kebangsaan, beliau mempunyai tanggungjawab mengemukakan watikah serta cadangan nama calon Menteri Besar kepada pihak Istana untuk pertimbangan pelantikan.

“Saya tidak mahu melayani ‘kenyanyukan seseorang’ yang tidak memahami realiti politik bahawa nama mesti dikemukakan kepada pihak Istana dan sebagai Pengerusi BN tentunya saya perlu mengemukakan watikah dan juga cadangan nama.
“Kalau tugas saya sebagai Pengerusi BN di peringkat kebangsaan dianggap sebagai orang luar, ertinya kenyanyukan itu jelas terpancar daripada wajah orang yang mengatakannya,” katanya, hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Pengerusi Parti Wawasan Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim yang mendakwa terdapat campur tangan pihak luar dalam proses pemilihan Menteri Besar negeri itu baru-baru ini.

Sebelum ini, Rais mendakwa wujud campur tangan daripada pihak “luar” dalam urusan berkaitan adat dan perlembagaan Negeri Sembilan.

Beliau turut mempersoalkan pertemuan Ahmad Zahid bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebelum pelantikan Menteri Besar, selain menyatakan perkara itu tidak diperincikan kepada media.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid turut menafikan dakwaan bahawa wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) bakal dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan.

“Tidak pernah akan ada,” katanya ringkas.

Sebelum ini timbul spekulasi bahawa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH mungkin menyertai pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Ismail sebelum ini memaklumkan senarai barisan Exco negeri akan dimuktamadkan pada Jumaat atau selewat-lewatnya Isnin depan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung minggu lalu, pentadbiran PH berakhir selepas gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh majoriti dua pertiga.

Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), BN memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memperoleh tujuh kerusi, menjadikan keseluruhan 25 kerusi yang membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri baharu.

Artikel lain: Jalaluddin Alias tolak sertai kerajaan negeri -“Saya bukan orang yang gilakan jawatan”

Keputusan berkenaan dilihat sebagai perubahan besar dalam landskap politik Negeri Sembilan apabila negeri yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat PH berjaya beralih kepada gabungan BN-PN.

Kemenangan tersebut turut mengukuhkan momentum kerjasama kedua-dua gabungan selepas kejayaan BN di Johor, selain menunjukkan pendekatan politik BN-PN mendapat sokongan daripada pengundi negeri berkenaan.

Sumber: Sinar Harian (Tuan Buqhairah Tuan Muhammad Adnan)

Scroll to Top