Pelawak terkenal, Lan Pet Pet memaklumkan bakal berhijrah ke Kota Manidah pada tahun hadapan bersama keluarganya kerana berhasrat untuk dikebumikan di Perkuburan Baqi.
Memetik laporan Berita Harian, Lan berkata mereka sekeluarga sepatutnya berpindah pada tahun in inamun terpaksa menangguh bagi memenuhi permintaan balu Allahyarham Hamdan untuk terus bersama Senario.
“Ikutkan saya ke Madinah tahun ini, tetapi isteri arwah Hamdan, Norhamalini Ahmed minta saya terus bersama Senario bagi menjaga ukhuwah dan silaturahim kami.
“Jadi, saya tangguhkan perancangan ini, insya-Allah saya dan keluarga akan berangkat menunaikan umrah bersama keluarga minggu depan dan kami akan ‘riki’ apa yang patut di sana.
“Cita-cita sejak kecil memang nak tinggal berhampiran dengan Rasulullah. Saya tanya isteri adakah bersedia dikebumikan di Madinah jika umur tak panjang?
“Bila isteri kata setuju, saya tak mahu tangguhkan lagi. Insya-Allah, ada rezeki saya akan bawa isteri dan anak-anak berhijrah ke sana. Bagaimanapun, kami akan kerap berulang-alik,” katanya.
Berkongsi lebih lanjut, Lan berkata ketika di sana dia akan menguruskan hotel dan sebuah restoran milik Al Maliki Group.
Meskipun menetap di Madinah, Lan akan tetap menjalankan kerjayanya di Malaysia seprti biasa.
“Insya-Allah, kerjaya bersama Senario akan tetap berjalan seperti biasa, kalau ada undangan saya akan balik ke sini.
“Saya sudah penat buat ulasan makanan dan restoran kerana terpaksa berlari ke sana-sini.
“Di usia sekarang apa lagi yang ingin saya kejar? Saya hanya ingin dekatkan diri dengan Allah dan Rasul. Saya bersyukur dipertemukan dengan orang betul,” tambahnya.
Sumber: Berita Harian



