Seoul: Bermula sebagai gurauan April Fool oleh pengasas sebuah syarikat pemula Korea Selatan, ia kini menjadi kenyataan apabila beliau merancang untuk menjual rumahnya dan menggunakan sebahagian daripada hasil jualan itu bagi menampung kos perumahan 10 pekerjanya selama setahun.
Memetik laporan Vnexpress, Lee Seung-gun yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Viva Republica memberitahu kakitangannya bahawa beliau akan menjual kediamannya dan menggunakan hasil jualan untuk menampung sewa serta faedah pinjaman 100 kakitangan seumur hidup pada Rabu.
Sehari selepas itu, rancangan bercita-cita tinggi itu dikurangkan skalanya tetapi dilaksanakan sebahagiannya, apabila Lee memaklumkan beliau akan memperuntukkan sebahagian daripada keuntungan jualan untuk menyokong kos perumahan 10 pekerja selama setahun selain komited memulangkan baki selebihnya kepada masyarakat.
Kesemua 10 penerima akan dipilih melalui cabutan bertuah dalam acara bulanan syarikat, baru-baru ini, di mana sokongan perumahan itu tidak mempunyai had dan akan dibiayai secara peribadi oleh Lee.
“Mesej April Fool saya tidak sepenuhnya benar tetapi niat di sebaliknya adalah ikhlas,” tulis Lee di papan buletin syarikat.
Beliau percaya bahawa keuntungan daripada hartanah sepatutnya dimanfaatkan untuk masyarakat, dan merancang menggunakannya untuk membantu menangani isu perumahan dalam komuniti.
Selain itu, beliau turut mempertimbangkan langkah konkrit dalam masa terdekat termasuk menubuhkan sebuah yayasan khusus bagi penyelesaian isu perumahan. Butiran khusus termasuk tarikh jualan berkenaan masih belum ditentukan.
Lee pernah menyatakan untuk memberikan 20 kereta Tesla dan kemudian memilih 10 pekerja melalui cabutan bertuah untuk menggunakan kereta itu secara percuma selama setahun pada 2022.
Tahun lalu, syarikat yang mengendalikan platform teknologi kewangan (fintech) Toss itu turut memilih 100 pekerja untuk lawatan berkumpulan ke Okinawa, Jepun mengikut laporan The Korea Herald.
© New Straits Times Press (M) Bhd




