Bakal pengantin lelaki ketuai rombongan meminang

Bakal pengantin lelaki ketuai rombongan meminang
Bakal pengantin lelaki ketuai rombongan meminang

TIDAK cantik dipandang apabila bakal pengantin lelaki mengetuai rombongan meminang dari sudut adat, namun ia tidak menyalahi syariat.

Soalan:

Bolehkah seorang lelaki yang juga bakal pengantin mengetuai rombongan meminang ke rumah bakal isterinya?

Jawapan:

Bertunang wujud dalam ajaran Islam bahkan perbuatan tersebut dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Matlamat meminang atau bertunang adalah untuk mendapatkan persetujuan antara pihak keluarga lelaki dan keluarga wanita untuk mengambil wanita itu sebagai isteri yang sah.

Banyak kebaikan dapat diambil daripada pertunangan sekali gus ia sebagai persediaan ke arah perkahwinan.

Adapun yang berlaku dalam masyarakat sekarang seperti orang tua yang mengetuai rombongan, ia merupakan adat semata-mata.

Bagaimanapun apabila bakal pengantin sendiri yang mengetuai rombongan meminang itu, ia dilihat tidak sesuai dengan adat kita namun ia tidaklah menyalahi pada syariat.

Selagi adat tidak menyalahi syariat, ia tidak bermasalah untuk diamalkan.

Dalam adat Melayu, kita menghantar wakil iaitu orang tua untuk ke hadapan berbicara dan berbincang dengan pihak wanita dalam mencapai satu keputusan yang berkaitan dengan perkahwinan adalah disebabkan pengalamannya sebagai orang tua dalam kehidupan yang pernah dilaluinya.

Mewakilkan orang tua dalam majlis pertunangan juga dilaksanakan kerana keputusan persetujuan perkahwinan itu bukannya terletak pada wanita, malah ia dibuat oleh wali wanita itu.

Maka tidak cantik dari segi adat apabila bakal pengantin sendiri yang bercakap dalam perbincangan membuat keputusan.

Antara lain, ia merupakan satu penghormatan kepada orang tua memandangkan urusan perkahwinan dan urusan menyerahkan anak perempuan kepada bakal suaminya itu bukanlah perkara yang kecil.

Maka patutlah orang yang dihormati dan orang yang lebih tua untuk berurusan dengan pihak wanita.

Seperti maklum, orang tua biasanya tahu adabnya dan menggunakan bahasa yang indah penuh dengan penghormatan serta adat tatasusila Melayu.

Bangsa Melayu penuh dengan adat dan tatasusila yang berpandukan syariat, maka tidak salah untuk mengikut adat itu.

Scroll to Top