Bakal Tampilkan Sedutan Eksklusif Musim 2, Filem Ejen Ali The Movie Kembali Ke Pawagam

Bakal Tampilkan Sedutan Eksklusif Musim 2, Filem Ejen Ali The Movie Kembali Ke Pawagam

Primeworks Studios dan Wau Animation dengan bangga mengumumkan tayangan semula Ejen Ali The Movie di pawagam terpilih seluruh Malaysia bermula 6 Februari 2025! Bersiap sedialah untuk menghidupkan kembali fenomena luar biasa yang pernah menggemparkan Malaysia, Singapura, dan Brunei pada tahun 2019!

Tayangan semula ini bukan sekadar peluang untuk menyaksikan semula pengembaraan epik Ejen Ali di kota futuristik Cyberaya, tetapi juga menawarkan kejutan istimewa buat peminat! Buat pertama kali, tayangan ini akan menampilkan sedutan eksklusif selama 5 minit dari Ejen Ali The Movie 2! Rasai debaran melihat gambaran pertama misi baharu yang penuh cabaran, di mana Ejen Ali menyarung Projek Satria—sut perisai khas yang membolehkannya menguasai keempat-empat Teras MATA: Tekno (Teknologi), Neuro (Strategi), Kombat (Seni Pertempuran), dan Inviso (Penyamaran).

Sebagai filem animasi penuh aksi, Ejen Ali The Movie mencipta sejarah dengan kutipan lebih RM30 juta dalam tempoh hanya enam minggu, menjadikannya filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang masa. Tahun 2019 juga dikenang sebagai ‘Tahun Animasi Malaysia’, dengan Ejen Ali The Movie sebagai peneraju utama, membuktikan kehebatan karya tempatan yang tetap menjadi pilihan rakyat Malaysia, mengatasi animasi antarabangsa yang popular.

Sejak kemunculannya pada 2016, siri animasi Ejen Ali telah memikat hati penonton pelbagai generasi, bukan hanya di Malaysia tetapi juga di lebih 65 negara. Siri ini turut disiarkan di Disney Asia, Nickelodeon India, MNCTV dan RTV di Indonesia, serta AlMajeed TV di Timur Tengah dan Afrika Utara. Dengan jutaan tontonan di TV3 serta pengikut setia di YouTube, francais ini mencipta sejarah sebagai IP animasi Malaysia pertama yang berkolaborasi dengan Walt Disney Company Southeast Asia, mengukuhkan kedudukannya dalam industri animasi tempatan dan global.

Di bawah arahan Usamah Zaid Yasin, Ejen Ali The Movie membawa penonton menghayati kisah seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang secara tidak sengaja direkrut sebagai ejen Meta Advance Tactical Agency (MATA). Dengan tanggungjawab besar untuk melindungi Cyberaya, Ejen Ali berdepan konflik apabila gajet IRIS dinaik taraf kepada IRIS Neo, yang kini boleh digunakan oleh ejen lain. Ketika menyedari dirinya bukan lagi satu-satunya ejen istimewa, muncul seorang individu misteri yang mendakwa mengetahui rahsia masa lalunya. Terperangkap dalam dilema antara peranan dan kesetiaan terhadap MATA, Ali terpaksa menghadapi pelbagai cabaran demi membongkar kebenaran serta memahami erti sebenar tanggungjawab sebagai seorang ejen.

Lebih daripada sekadar nostalgia, tayangan semula ini turut menjadi detik untuk menghidupkan kembali semangat Ejen Ali menjelang pelancaran sekuel yang dinanti-nantikan, Ejen Ali The Movie 2. Keterujaan terhadap sekuel ini terus memuncak sejak Teaser Rasmi pertamanya diperkenalkan pada September 2024, ditambah pula dengan pelancaran lagu tema rasmi “Hanya Kamu” yang dinyanyikan oleh artis tersohor, Dato’ M Nasir.

Lagu pertama daripada album runut bunyi filem ini telah dilancarkan pada 31 Januari 2025 dan kini boleh didengari di platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. “Hanya Kamu” merupakan gabungan unik muzik elektronik Ejen Ali dengan vokal bertenaga Dato’ M Nasir, yang terkenal dengan pelbagai genre muzik termasuk pop, rock, dan irama tradisional Malaysia. Single ini menandakan keberanian Dato’ M Nasir dalam meneroka dunia muzik baharu, hasil ciptaan komposer terkenal Azri Yunus dari WAU Animation, dengan lirik yang turut mendapat sentuhan daripada Dato’ M Nasir sendiri. Seiring dengan evolusi Satria Ejen Ali dalam Ejen Ali The Movie 2, lagu ini menjadi seruan penuh semangat buat generasi muda untuk bangkit menghadapi cabaran dan menjadi versi terbaik diri mereka.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada fenomena ini! Saksikan Ejen Ali The Movie di pawagam pada cuti sekolah ini bermula 6 Februari 2025 dan alami sendiri pengembaraan epik Ejen Ali yang penuh dengan transformasi, misteri, dan aksi mendebarkan!

Scroll to Top