Balas dendam selepas 23 tahun

Balas dendam selepas 23 tahun

Pune, India: Polis luar bandar Pune di barat India, menahan seorang lelaki berusia 24 tahun selepas didakwa mendalangi pembunuhan terhadap individu yang dipercayai bertanggungjawab membunuh bapanya 23 tahun lalu, lapor Press Trust India.

Ketika pembunuhan bapanya berlaku, suspek, Manthan Vaidya baru berusia enam bulan.

Mangsa, Sanjay Baburao Kadu-Deshmukh, 40, ditemukan maut dalam keadaan mengerikan berhampiran terowong lama Katraj di Bhor tehsil, daerah Pune pada 11 Julai lalu.

Polis memaklumkan mangsa mengalami beberapa kecederaan akibat diserang menggunakan senjata tajam menyebabkan Polis Rajgad membuka kertas siasatan berhubung kes pembunuhan itu.

Menurut Cawangan Jenayah Tempatan (LCB) Polis Luar Bandar Pune, pasukan penyiasat menggunakan bukti teknikal bagi mengenal pasti Manthan, 24, dan Saurabh Pardeshi sebagai suspek utama.

Senior Inspektor Polis, Pramod Kshirsagar berkata, kedua-dua suspek ditahan pada 14 Julai lalu.

Katanya, hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek mengaku membunuh Kadu-Deshmukh dengan bantuan dua lagi individu yang dikenal pasti sebagai Mizan Shaikh dan Sandip Kori.

Polis berkata, motif pembunuhan itu dipercayai berpunca daripada kejadian pada 2003 apabila Kadu-Deshmukh didakwa membunuh bapa Manthan, Dinesh Vaidya, selepas berlaku perselisihan faham kecil.

Penolong Inspektor Polis, Chetan Machale berkata, Manthan dipercayai menyimpan dendam terhadap Kadu-Deshmukh selama bertahun-tahun berhubung kematian bapanya.

Katanya, Manthan kemudian berpakat dengan beberapa lain untuk membunuh Kadu-Deshmukh.

Machale berkata, ketika dibunuh, Kadu-Deshmukh sebenarnya bebas dengan jaminan mahkamah berhubung satu lagi kes jenayah.

Katanya, kes berkenaan sudah didaftarkan terhadap Manthan dan suspek lain mengikut peruntukan Kanun Keseksaan India, manakala siasatan lanjut masih diteruskan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top