New York: Kad merah yang diterima penyerang Amerika Syarikat (AS), Folarin Balogun, ketika aksi Piala Dunia 2026 menentang Bosnia & Herzegovina bukan sahaja mencetuskan kontroversi, malah menghadiahkan piza percuma kepada puluhan ribu penyokong.
Rangkaian makanan segera, Domino’s Pizza, mengaktifkan kempen promosi bernilai AS$1 juta (RM4.2 juta) selepas Balogun dilayangkan kad merah dalam kemenangan 2-0 AS pada pusingan 32 terbaik.
Kempen itu sebenarnya diumumkan beberapa minggu sebelum Piala Dunia bermula sebagai janji syarikat berkenaan untuk ‘mengurangkan kekecewaan’ penyokong sekiranya pemain AS dibuang padang sepanjang kejohanan.
Sejurus pengadil mengesahkan kad merah Balogun, Domino’s memilih lebih 60,000 pemenang secara rawak untuk menerima piza biasa dua pilihan hiasan atas piza secara percuma.
Hanya pelanggan yang mendaftar lebih awal dalam program ganjaran Domino’s sebelum sepak mula Piala Dunia layak menyertai promosi berkenaan, manakala hadiah perlu ditebus sebelum 2 Ogos.
Di media sosial, penyokong pantas mengingatkan syarikat itu mengenai janjinya, malah Domino’s membalas secara berseloroh bahawa ‘janji tetap janji’ sebelum mengesahkan pemenang akan dimaklumkan menerusi akaun ganjaran mereka.
Balogun dilayangkan kad merah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati terjahannya mengenai buku lali pertahanan Bosnia, Tarik Muharemovic, dianggap sebagai kekasaran serius.
Keputusan itu menyebabkan penyerang terbabit digantung satu perlawanan dan terlepas aksi pusingan 16 terbaik menentang Belgium.
Walaupun kehilangan pemain utama, AS tetap mempertahankan kelebihan untuk melakar kemenangan 2-0 sekali gus mara ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama sejak edisi 2002.
© New Straits Times Press (M) Bhd




