aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Sylvia Ng menerima penghormatan khas daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melalui sumbangan istimewa sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan legasinya dalam sukan negara.
Lawatan itu disertai oleh Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan BAM, Datuk Ng Chin Chai, yang sama-sama berbesar hati dapat bertukar-tukar pandangan dan kenangan bersama ikon badminton wanita Malaysia itu.
Menurut Zafrul, Sylvia antara pelopor kejayaan badminton wanita Malaysia pada era 1960-an dan 1970-an.
“Beliau mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama menjuarai pingat emas perseorangan Sukan Komanwel, selain menjadi atlet wanita Malaysia pertama meraih emas dalam sejarah Sukan Komanwel di Edmonton, Kanada pada 1978.
“Kejayaan beliau bukan sahaja membanggakan negara, malah membuka jalan bagi generasi atlet wanita seterusnya,” katanya.
Sylvia turut diiktiraf sebagai Olahragawati Kebangsaan pada 1975 dan 1978 atas sumbangan luar biasa beliau dalam arena sukan.
Menurut Tengku Zafrul, lawatan ini juga diadakan susulan isu ganjaran Olahragawan dan Olahragawati Negara bagi beberapa atlet terdahulu, termasuk tahun 1975 dan 1978, yang tidak diterima.
“Walaupun perkara ini berada di luar bidang kuasa BAM, kami ingin menzahirkan penghargaan dan penghormatan terhadap legasi Sylvia dengan menyampaikan sumbangan khas sebagai tanda penghormatan,” jelas beliau.
Tambah Zafrul, legasi Sylvia bukan sahaja diukur melalui pingat, tetapi lebih kepada laluan dan inspirasi yang dibuka untuk generasi seterusnya.
Dengan sumbangan khas ini dan lawatan bertukar-tukar pandangan itu, BAM berharap dapat mengekalkan semangat perpaduan, menghormati jasa atlet terdahulu, serta menggalakkan generasi muda untuk terus mengangkat martabat sukan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




