BAM lanjut kerjasama dengan Wilayah Ehime di Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) pada Jumaat melanjutkan kerjasamanya dengan wilayah Ehime yang terletak di selatan Jepun, dalam memantapkan latihan bagi pemain badminton negara.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kerjasama yang bermula pada Julai 2018 itu memberi impak positif dan akan memberi manfaat kepada pemain senior dan remaja negara apabila mereka menjalani latihan di wilayah itu.

“Hari ini adalah hari bersejarah kerana kita meneruskan kerjasama BAM dan Ehime untuk memajukan lagi sukan badminton di kedua-dua negara.

“Ia adalah hubungan menang-menang bagi kita. Selain menjadi destinasi pelancongan yang menakjubkan, Ehime adalah lokasi yang kondusif sebagai bandar sukan yang sedang membangun,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Gabenor Ehime, Tokohiro Nakamura dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi serta seluruh penduduk Ehime atas sokongan padu ketika pemain negara berada di bumi matahari terbit itu untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo.

Dalam saingan Olimpik Tokyo tahun lepas, pasukan badminton negara berjaya meraih pingat gangsa menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara beregu lelaki.

Menurut BAM kerjasama itu diperakui meluas, dengan badan induk badminton negara dianugerahkan Penghargaan Menteri Luar Jepun bagi tahun 2020, bagi mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara melalui badminton.

BAM berkata, wilayah itu dipilih daripada sejumlah 47 wilayah di Jepun berdasarkan kemudahan canggihnya, menjadi pangkalan latihan rasmi Malaysia sebagai persediaan menghadapi Olimpik Tokyo.

Menerusi kerjasama itu, BAM telah menghantar 60 pemain senior dan remaja bagi mengikuti tiga kem latihan di Ehime pada 2018 dan 2019, sebelum pandemik Covid-19 membantutkan rancangan untuk latihan pra-Olimpik.

Wilayah Ehime terletak di pulau Shikoku, kira-kira 800 kilometer dari ibu kota Tokyo. – Bernama