Bandar MADANI Bukit Jalil dijangka mula dibangunkan tahun depan

Bandar MADANI Bukit Jalil dijangka mula dibangunkan tahun depan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pembinaan Bandar MADANI Bukit Jalil dijangka dimulakan tahun depan dengan menawarkan rumah pintar, sekolah vertikal, mobiliti pintar (smart mobility) serta teknologi tenaga boleh diperbaharui kepada penduduk ibu kota.

Cadangan pembinaan bandar itu oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) diperakukan melalui Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mesyuarat MPFN hari ini turut memperakukan cadangan pembinaan Bandar MADANI Bukit Jalil oleh PR1MA yang akan menawarkan rumah pintar, sekolah vertikal, mobiliti pintar serta penggunaan teknologi tenaga boleh diperbaharui untuk penduduk ibu kota Kuala Lumpur mulai tahun 2026,” menurut kenyataan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Mesyuarat ke-49 MPFN hari ini membentangkan enam kertas kerja, termasuk empat kertas persetujuan dan dua kertas makluman.

Pada masa sama, MPFN bersetuju dengan Garis Panduan Perancangan Sekolah Vertikal di Skim Perumahan Berbilang Tingkat yang disediakan oleh PLANMalaysia, KPKT.

KPKT menjelaskan, konsep sekolah vertikal merupakan pendekatan inovatif untuk mengoptimumkan penggunaan tanah di kawasan bandar berkepadatan tinggi melalui pembangunan sekolah bertingkat yang inklusif dan mesra komuniti.

“Garis panduan ini menandakan langkah ke hadapan Malaysia dalam merangka model pendidikan bandar yang mampan, moden dan holistik, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.

Mesyuarat turut mengambil maklum Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang berkuat kuasa sejak 11 Jun lalu, menggantikan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL2020) dengan matlamat menjadikan ibu kota sebuah bandar raya inklusif, mampan dan berdaya huni menjelang 2040.

MPFN juga meneliti Kajian Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2040 (HNDP 2040) bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang disediakan Kementerian Kerja Raya (KKR).

Pelan itu bertujuan memperkukuh rangkaian jalan raya nasional dan meningkatkan akses luar bandar melalui 47 projek jalan baharu serta 80 projek naik taraf dengan jumlah keseluruhan 2,388.32 kilometer (km), yang dirancang untuk dilaksanakan sehingga selepas tahun 2040.

Menurut KPKT, HNDP 2040 mencerminkan komitmen kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan wilayah, meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar dan memastikan akses pengangkutan yang lebih selamat, moden dan inklusif dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top