Banduan bebas PBSL bersyukur dapat raya dengan keluarga

Banduan bebas PBSL bersyukur dapat raya dengan keluarga

KAJANG – Tidak ada apa yang lebih bermakna selain dapat menjalani semula kehidupan sebagai orang biasa daripada terus meringkuk dalam tirai besi.

Itu yang sememangnya dinanti oleh Kimi, 25, selepas hidupnya menjadi gelap seketika ekoran terpaksa menjalani hidup sebagai pesalah Penjara Kajang akibat kes dadah.

Dia yang dijatuhi hukuman penjara selama 15 bulan kerana menghisap ganja bersyukur setelah dibebaskan awal menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Hari Raya Aidilfitri.

Ketika ditemui MalaysiaGazette, Kimi berkata, kegembiraannya tidak dapat digambarkan dan biarlah ia menjadi rahsia di dalam hati.

Dia amat bersyukur kerana raya kali ini dapat bersama kembali ke pangkuan keluarganya yang tersayang dan tidak lagi bersendirian menyambut raya.

“Saya sangat bersyukur kerana menjadi salah seorang yang banduan yang terpilih pada program ini. Ia merupakan hadiah yang besar buat saya kerana Aidilfitri kali ini saya dapat bersama kepangkuan keluarga dan dapat beraya bersama mereka,” katanya.

Menceritakan pengalamannya di dalam penjara, Kimi berkata, berada di sebalik tirai besi banyak mengajar dirinya tentang kehidupan.

Katanya, ada banyak perkara-perkara yang tidak mungkin dapat dilupakan ketika berada di penjara terutamanya ilmu-ilmu yang diajarkan oleh ustaz-ustaz yang pastinya akan diabadikan sebagai pegangan hidup.

Rakannya yang hanya dikenali dengan nama Azmi, 35,  yang dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah berkata, peluang diberikan oleh pihak kerajaan bagaikan penguat untuk dia tidak lagi menoleh ke belakang mengulangi kesalahan lalu.

Katanya, dia kini sedar anak-anaknya yang masih kecil memerlukan dirinya untuk hidup dalam sebuha keluarga bahagia sama seperti orang lain.

“Saya sepatutnya menjalani hukuman penjara selama enam bulan namun saya bersyukur kerana dapat dibebaskan lebih awal menerusi program PBSL.

“Pengalaman di penjara amat menginsafkan dan saya berjanji untuk tidak lagi mengulangi kesalahan dan melukakan hati keluarga terutama anak-anak yang masih memerlukan saya,” ujarnya.

Banduan, Azmi (bukan nama sebenar) bercakap kepada media selepas Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di Penjara Kajang, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 04 APRIL 2024.

Sementara itu, bakal majikan yang akan mengambil tiga orang prospek dari Penjara Kajang untuk bekerja di perusahaannya, Mohd Luqman Ariff Shahrom berkata, pihaknya mengetahui mengenai program PBSL oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengenai kerjasama pihaknya dengan penjara.

Katanya, ia merupakan satu peluang yang baik kepada perusahaannya mengambil prospek-prospek dari penjara untuk di beri peluang bekerja di tempatnya.

Jelasnya, mereka boleh diberikan latihan dan ini merupakan peluang prospek-prospek itu untuk kembali kepada masyarakat.

“Kita akan beri latihan seperti housekeeping, pembantu dapur dan sebagai menerusi satu program yang akan mereka ikuti.

“Selepas itu mereka akan diberikan sijil supaya apabila mereka mahu bekerja ada bukti kemahiran yang menguatkan untuk majikan mengambil mereka bekerja.

“Ini merupakan salah satu usaha yang kami dapat bantu agar banduan-banduan ini memiliki peluang kedua untuk membina masa depan masibg-masing,” katanya yang merupakan pegawai di bahagian sumber manusia di sebuah hotel di ibu negara. – MalaysiaGazette