Robertson, McGinn tersenarai dalam skuad Scotland hadapi Piala Dunia

Robertson, McGinn tersenarai dalam skuad Scotland hadapi Piala Dunia

London: Pertahanan Liverpool, Andy Robertson dan kapten Aston Villa, John McGinn antara pemain disenaraikan pengurus Steve Clarke hari ini dalam skuad Scotland ke pusingan akhir Piala Dunia 2026.

Scotland kali terakhir beraksi di kejohanan itu pada 1998 dan anak buah Clarke kini memburu sejarah baharu di Amerika Utara dengan sasaran menjadi pasukan Scotland pertama yang berjaya melepasi peringkat kumpulan di Piala Dunia.

“Semakin saya mengembara di seluruh Amerika, semakin jelas besarnya kejohanan ini,” kata Clarke kepada media di Glasgow selepas mengumumkan skuad 26 pemain.

Beliau menambah: “Saya faham tanggungjawab yang kami pikul untuk memberikan aksi terbaik kami.”

Bek kiri Liverpool, Robertson, 32, akan meninggalkan kelab itu hujung musim ini selepas sembilan tahun di Anfield yang menyaksikannya memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris dan satu trofi Liga Juara-Juara.

McGinn, pemain tengah berusia 31 tahun menjadi tonggak penting kebangkitan Villa yang berjaya mara ke final Liga Europa dan layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Pemain terbaik Serie A musim 2024/25 milik Napoli, Scott McTominay, bersama rakan sepasukannya Billy Gilmour serta pemain Bologna, Lewis Ferguson, turut berada dalam senarai.

Penyerang Heart of Midlothian, Lawrence Shankland yang menjaringkan 16 gol dan lima bantuan jaringan dalam 29 perlawanan liga hingga hampir membawa Hearts menjulang kejuaraan Liga Perdana Scotland, turut dipilih.

“Saya tidak bimbang dengan mana-mana pemain saya untuk mengetuai jentera serangan,” kata Clarke.

“Lawrence dan kelabnya menikmati musim yang hebat walaupun ia berakhir dengan sedikit kekecewaan hujung minggu lalu.

“Dalam pengalaman saya, pemain bola sepak sangat kuat semangat. Dia hanya perlukan beberapa hari untuk menenangkan diri dan bersedia memberi impak di Piala Dunia musim panas ini.”

Penyerang Southampton, Ross Stewart turut dipanggil selepas empat tahun tersisih daripada skuad kebangsaan manakala penjaga gol Heart of Midlothian, Craig Gordon, 43, turut berada dalam senarai 26 pemain.

Stewart hanya mempunyai dua penampilan bersama Scotland, kedua-duanya pada 2022, tetapi meledak 11 gol dalam 33 penampilan bersama Southampton musim ini termasuk satu gol ketika kemenangan separuh akhir playoff Championship menentang Middlesbrough.

“Ini kisah yang bagus buat Ross,” kata Clarke. “Dia pernah bersama skuad saya beberapa tahun lalu dan menunjukkan dia mampu bermain di tahap ini.

“Dia melalui tempoh kecederaan yang sukar, tetapi sejak Januari dia berada dalam prestasi terbaik dan membuktikan mampu menjaringkan gol penting dalam perlawanan besar.”

Scotland akan menentang Haiti pada 13 Jun, Maghribi pada 19 Jun dan juara dunia lima kali Brazil pada 24 Jun dalam aksi Kumpulan C.

Dua perlawanan awal kumpulan akan berlangsung di Massachusetts sebelum aksi terakhir di Miami.

Pasukan Clarke juga akan menentang Curacao dalam aksi persahabatan di Hampden pada 30 Mei sebelum menghadapi Bolivia di New Jersey pada 6 Jun sebagai persiapan terakhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top