Brussels: Belgium akan memberikan cuti khas tambahan kepada banduan tertentu bagi mengatasi kesesakan di kemudahan itu yang semakin teruk.
Angka rasmi terkini menunjukkan, 12,300 banduan berada di 38 penjara Belgium, berbanding kapasiti iaitu hanya 10,743.
Menurut memo diperoleh AFP bertarikh 6 Mac lalu, Ketua Direktorat Penjara mengarahkan ketua penjara memberikan cuti setiap bulan kepada banduan tertentu kerana kesesakan.
Katanya, langkah itu berkuat kuasa serta-merta serta tidak membabitkan banduan yang sedang menjalani hukuman penjara 10 tahun atau lebih.
“Ia juga tidak termasuk banduan yang disabitkan dengan keganasan dan pesalah seks yang dipenjarakan kerana perbuatan tidak senonoh terhadap kanak-kanak bawah umur dan orang dewasa,” kata arahan dalam memo itu.
Ketua direktorat itu berkata, walaupun terdapat penambahan katil kecemasan, jumlah banduan yang tidur di tilam yang diletakkan atas lantai semakin meningkat setiap hari.
“Situasi sukar untuk dibiarkan dari sudut kemanusiaan, baik untuk banduan mahupun kakitangan penjara,” katanya.
Semalam, peguam dari Persatuan Peguam seluruh Belgium mengkritik peningkatan bilangan undang-undang yang memperuntukkan hukuman penjara yang lebih berat.
Tahun lalu, badan pemantau penjara antarabangsa, OIP, memberi amaran mengenai peningkatan bilangan banduan apabila reformasi penjara di Belgium berkuat kuasa pada September.
Undang-undang mengkehendaki semua banduan yang dihukum antara enam bulan dan dua tahun, dipenjarakan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada hukuman mereka.
Sebelum ini, majoriti pesalah itu secara automatik dipasang dengan tag elektronik sebelum diberikan pelepasan sementara selepas beberapa bulan.
Sejak undang-undang baharu dikuatkuasakan, bilangan banduan di Belgium meningkat kepada 800 orang.
Malah, beberapa hari kebelakangan ini, kakitangan di penjara tertentu enggan menerima banduan baharu.
Kesatuan pengawal penjara di seluruh negara menggesa mogok seluruh negara pada 14 hingga 15 Mac dalam usaha untuk menonjolkan kemerosotan keadaan kerja mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




