Agata sasar beri manfaat kepada sejuta pesakit

Agata sasar beri manfaat kepada sejuta pesakit

KUALA LUMPUR – Syarikat teknologi penjagaan kesihatan, Mywam Sdn. Bhd. menyasarkan aplikasi penjagaan kesihatan keluarannya iaitu Agata akan memberi 1,000,000 pesakit yang memerlukan maklumat penjagaan kesihatan perubatan secara bersepadu di hujung jari.

Pengasasnya, Dana Ariya berkata, pihaknya juga yakin dapat mendekati 1,000 doktor kerana aplikasi itu kecerdasan buatan (AI) yang dapat menghubungkan golongan itu dengan pesakit di alam maya bagi tujuan untuk praperundingan, nasihat berterusan atau tujuan pasca perundingan.

Beliau memberitahu, Agata berasaskan langganan inovatif itu dijangka mengubah landskap digital penjagaan kesihatan perubatan negara ini selain muncul pengubah keadaan dalam industri.

“Misi kami adalah untuk menjadikan penjagaan kesihatan mudah diakses dan inklusif untuk semua orang, tidak kira di mana atau bila anda berada. Agata memastikan ahli keluarga mendapat sokongan, motivasi dan penjagaan yang boleh dipercayai pada setiap masa,” katanya.

“Agata bukan sahaja mengenai kebolehakses malah ia juga memupuk kerjasama dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan, memperkasakan doktor untuk membangunkan pelan rawatan yang peribadi dan disesuaikan dengan keperluan setiap pesakit.

“Dengan Agata, ia sama seperti mempunyai pasukan pakar dan profesional penjagaan kesihatan yang berdedikasi di hujung jari pesakit,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dana Ariya.

Dana menambah, dibangunkan dengan kerjasama Osense, sebuah syarikat permulaan penyelidikan teknologi terkemuka dari Taiwan, Agata juga menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengguna untuk menjadualkan janji temu, mengakses rekod kesihatan dan mendapatkan maklumat tentang perjalanan penjagaan kesihatan mereka.

Pada masa sama katanya, aplikasi itu turut menawarkan doktor dengan alat untuk menyelaraskan penyampaian penjagaan kesihatan dan meningkatkan penglibatan pesakit.

“Kami juga mengalu-alukan peluang pelaburan daripada syarikat berminat yang ingin menyertai kami dalam merevolusikan industri penjagaan kesihatan untuk manfaat jangka panjang orang ramai.

“Keupayaan Agata ditambah lagi dengan kemampuannya untuk mengasimilasikan dan menyebarkan maklumat melalui Pangkalan Pengetahuan Agata iaitu sebuah repositori dinamik boleh dikemas kini yang merangkumi soalan lazim, garis panduan prosedur dan kriteria penting yang diproses oleh enjin ChatGPT penyelesaian perisian yang stabil dan selamat,” katanya. – MalaysiaGazette