am@hmetro.com.my
Kuantan: Seramai 45 mangsa daripada 14 keluarga terpaksa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Raub dan Lipis setakat 4 petang ini, selepas kediaman mereka dilanda banjir berikutan hujan berterusan sejak semalam menyebabkan empat sungai di Pahang melepasi paras waspada.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lipis memaklumkan, paras air yang meningkat membimbangkan penduduk, khususnya di kawasan rendah berhampiran sungai.
“Empat sungai iaitu Sungai Jelai di Jeti Lipis dan Sungai Jelai di Jeram Bungor serta Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub dan Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh melepasi paras waspada, katanya dalam kenyataannya, malam ini..
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kolonel (PA) Che Adam A Rahman menasihati penduduk di negeri ini terutama yang tinggal di kawasan rendah berhampiran sungai supaya peka dengan keadaan cuaca.
“Oleh itu, segala persediaan perlu dilakukan orang ramai dan berpindah apabila diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




