nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencipta sejarah sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di Malaysia yang menerima Anugerah Pencipta Perak (Silver Creator Award) daripada YouTube.
Pengiktirafan itu diterima selepas saluran rasmi universiti, UiTM Channel berjaya melepasi 100,000 langganan pada pertengahan September lalu.
UiTM dalam kenyataan berkata, UiTM Channel yang mula beroperasi pada 1 April 2013 kini mempunyai lebih 21 juta tontonan dan lebih 1,900 penerbitan video.
“Saluran ini bukan hanya menyampaikan maklumat berbentuk video kepada komuniti universiti dan masyarakat awam tetapi turut menjadi platform penstriman langsung yang mendapat tontonan tinggi termasuk semasa Istiadat Konvokesyen UiTM.
“Saluran ini diuruskan oleh pasukan daripada Bahagian Pengurusan Jenama dan Media Kreatif, Pejabat Komunikasi Strategik UiTM, membuktikan usaha strategik universiti dalam memanfaatkan media digital,” katanya.
Selain meningkatkan keterlihatan universiti, katanya, UiTM Channel mula menjana pendapatan sejak awal tahun 2020.
“Pendapatan ini membuka peluang kepada universiti untuk terus memperluaskan kandungan kreatif dan inovatif yang memberi manfaat kepada pelbagai pihak.
“UiTM juga mencatat pencapaian serupa melalui platform media sosial TikTok yang kini mempunyai lebih 100,000 pengikut.
“Kedua-dua saluran YouTube dan TikTok rasmi UiTM menerima verifikasi rasmi daripada platform masing-masing sekali gus mengukuhkan kredibiliti jenama universiti di dunia digital,” katanya.
Menurutnya, UiTM Channel juga menjadi IPT pertama yang memperkenalkan platform e-dagang melalui TikTok.
“Inisiatif ini bagi mempromosikan dan menjual produk universiti kepada umum termasuk produk ikonik seperti Beg Kuning UiTM sekali gus menampilkan inovasi universiti dalam meneroka peluang ekonomi digital.
“UiTM berbangga dengan pencapaian ini yang mencerminkan visi universiti untuk terus berada di barisan hadapan dalam inovasi dan transformasi digital,” katanya.
Dengan sokongan pelbagai pihak, katanya, UiTM Channel dijangka akan terus berkembang sebagai platform utama untuk menyampaikan kandungan kreatif dan berimpak tinggi.
“Pencapaian ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga lambang komitmen UiTM dalam memperkasa komuniti universiti dan masyarakat melalui inovasi teknologi serta media digital,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




