Bangkok: Paras air sungai yang meningkat pada Selasa menyebabkan 12 daerah di Utara, Dataran Tengah dan Timur Thailand dilanda banjir, lapor BangkokPost.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana berkata, tiga dilaporkan lemas, membabitkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dihanyutkan air banjir ketika menunggang motosikal di daerah Sam Ngam, Phichit.
Selain itu, seorang lelaki berusia 19 tahun terjatuh ke dalam air ketika mendayung botnya di Phetchabun.
Sementara, kejadian ketiga membabitkan seorang lelaki yang lemas ketika cuba memindahkan barang-barang dari bawah rumah di Ayutthaya.
Menurut jabatan itu, kira-kira 161,000 penduduk di Phitsanulok, Phetchabun, Phichit, Nakhon Sawan, Uthai Thani, Chai Nat, Sing Buri, Ang Thong, Suphan Buri, Ayutthaya, Nakhon Pathom dan Chachoengsao, terjejas banjir.
Di bahagian utara, banjir berlaku di empat wilayah yang mana, di daerah Bang Rakam dan Wang Thong di Phitsanulok, paras air banjir sedang meningkat.
Di Phetchabun banjir melanda di daerah Nong Phai, Bung Sam Phan, Wichian Buri dan Sri Thep, namun paras air semakin surut.
Sementara kawasan yang dilanda di Phichit adalah Bang Mun Nak, Sam Ngam, Pho Thale, Pho Prathap Chang, Bung Na Rang, Thap Khlo, Muang, Don Charoen dan Sak Lek, yang mana air juga semakin surut.
Di wilayah Nakhon Sawan pula, banjir berlaku di daerah Chumsaeng, Muang dan Takhli, dengan paras air yang stabil.
Selain itu, tujuh daerah di dataran Tengah yang dilanda banjir adalah Uthai Thani (daerah Muang), Chai Nat (Sapphaya, Manorom, Wat Sing dan Muang), Sing Buri (In Buri, Phrom Buri dan Muang), Ang Thong (Pa Mok, Wiset Chai Chan, Chaiyo dan Muang), Suphan Buri (Muang, Bang Pla Ma, Song Phi Nong dan Doembang Nangbuat), Ayutthaya (Sena, Phak Hai, Bang Ban, Bang Sai, Bang Pa-in dan Phra Nakhon Sri Ayutthaya, serta Nakhon Pathom (Bang Len, Muang, Sam Phran dan Kamphaeng Saen).
Secara keseluruhannya, paras air di Dataran Tengah semakin surut, kecuali di Ayutthaya, yang mana air terus meningkat.
© New Straits Times Press (M) Bhd
