Banjir kilat Johor Bahru: Perkasa teknologi 'Smart City', amaran terus ke telefon bimbit

Banjir kilat Johor Bahru: Perkasa teknologi 'Smart City', amaran terus ke telefon bimbit

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kerajaan Negeri Johor bakal memperkasakan teknologi ‘Smart City’ bagi membolehkan rakyat di bandar raya ini menerima notifikasi amaran banjir secara terus ke telefon bimbit menerusi aplikasi pintar setiap kali berlakunya hujan lebat luar biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, sudah sampai masanya inisiatif itu dilaksanakan segera bagi membolehkan maklumat amaran bencana itu dihantar secara terus kepada rakyat, sekali gus mempercepatkan tindakan menyelamatkan diri dan harta benda.

“Kita perlu dapatkan seberapa banyak nombor telefon rakyat yang kita ada dan apabila berlakunya hujan lebat, mereka boleh terus dapat notifikasi.

“Di Jepun, dalam lingkungan 200 hingga 300 meter, jika ada amaran, mereka dapat notifikasi. Contohnya pemandu teksi yang berada di sekitar kawasan berisiko, mereka akan dapat mengelak daripada laluan yang akan dinaiki air,” katanya ketika sidang media di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Jafni mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bertindak berhubung kejadian banjir kilat luar biasa yang melanda beberapa lokasi di badar raya ini semalam.

Pada masa sama, Mohd Jafni menegaskan dua siren amaran banjir berfungsi ketika insiden banjir kilat semalam dan setiap satunya berbunyi sebanyak tiga kali.

Bagaimanapun, beliau menyedari, bunyi itu mungkin kurang jelas dan tidak didengari oleh sesetengah penduduk.

“Semalam berbunyi. Di Kampung Mohd Amin, tiga kali bunyi, ( sistem di bawah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia). Bersebelahan Hospital Sultanah Aminah (HSA) pun siren berbunyi tiga kali.

“Cuma, isunya sekarang orang tak dengar, sebab itu kita kena tengok balik sistem ini. Kita akan bincang dengan pasukan teknikal kita,” katanya.

Selepas berlaku banjir kilat di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini semalam, terdapat dakwaan sebilangan pihak di media sosial yang mendakwa sistem amaran hujan lebat dan banjir itu tidak berbunyi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top