Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini menasihatkan bekas Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) Wong Yan Ke bahawa kebebasan bersuara merupakan hak penting setiap individu, namun perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan tidak membelakangkan undang-undang.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Noorin Badaruddin, yang mengetuai panel tiga hakim berkata, perayu masih mempunyai ruang untuk bersuara, mengkritik dan menyatakan ketidaksetujuan, namun kebebasan itu perlu digunakan dengan menghormati undang-undang.
“Encik Wong, mahkamah tidak menghukum kamu kerana mempunyai pandangan berbeza. Mahkamah menghukum kelakuan berdasarkan dapatan mahkamah bahawa kamu melampaui had ditetapkan undang-undang. Hak kepada kebebasan bersuara adalah hak yang penting, tetapi hak tersebut tidak membawa bersama hak untuk membelakangkan undang-undang.
“…kerana kebebasan sebenar bukanlah kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang diingini, tetapi kebebasan itu datang dengan penuh tanggungjawab,” kata Hakim Noorin.
Sehubungan itu, beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid sebulat suara menolak rayuan akhir Wong, 29, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman denda RM10,000 atau enam bulan penjara dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana mengaibkan bekas Naib Canselor universiti berkenaan.
Hakim Noorin berkata, mahkamah berpuas hati bahawa pertuduhan terhadap perayu adalah sah dan tidak menimbulkan sebarang prasangka mahupun kegagalan keadilan.
“Elemen kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah, selain tiada sebarang salah arah undang-undang yang material dilakukan Mahkamah Majistret. Tiada salah arah undang-undang yang material oleh Majistret dan tiada asas mencukupi untuk mahkamah ini mengganggu hukuman dijatuhkan Mahkamah Tinggi.
“Oleh itu, mahkamah ini mendapati rayuan perayu tidak bermerit. Sabitan perayu di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan hukuman denda RM10,000 sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan,” hakim itu.
Pada 15 April 2025, Mahkamah Tinggi menaikkan denda RM5,000 kepada RM10,000 terhadap Wong kerana mengaibkan serta membangkitkan kemarahan bekas Naib Canselor Universiti Malaya Prof Datuk Dr Abdul Rahim Hashim ketika istiadat konvokesyen universiti berkenaan.
Wong membayar denda RM10,000 itu.
Pada 9 Oktober 2023, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Wong selepas didapati bersalah dengan sengaja mengaibkan serta membangkitkan kemarahan Abdul Rahim dan tetamu dengan tindakannya yang boleh menjejaskan keamanan awam sewaktu Istiadat Konvokesyen UM ke-59 di Dewan Tunku Canselor UM di sini pada 10 pagi, 14 Oktober 2019.
Pertuduhan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding hari ini, Wong diwakili peguam Haijan Omar manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar dan Mohd Zain Ibrahim.
© New Straits Times Press (M) Bhd




