Kuala Lumpur: Hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan banjir kilat di beberapa laluan utama sekitar Shah Alam sehingga memaksa penutupan jalan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), awal pagi ini.
Berdasarkan hebahan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di media sosial X, banjir kilat dilaporkan di Kilometer 9.1 NKVE antara Shah Alam dengan Subang pada jam 4.07 pagi.
Semua lorong di kedua-dua arah terhalang akibat banjir, menyebabkan trafik dari Bukit Raja menghala ke utara dilencongkan ke Setia Alam.
Trafik dari Subang menghala ke selatan pula dilencongkan ke Lebuhraya ELITE.
Terdahulu, pada jam 3.20 pagi, PLUS memaklumkan semua lorong sebelum masuk Plaza Tol Shah Alam ditutup akibat banjir kilat dan pengguna diminta menggunakan laluan alternatif.
Pada jam 5.30 pagi, PLUS turut melaporkan penutupan semua lorong di Persimpangan Shah Alam, ELITE, antara laluan Seafield dengan Setia Alam.
Menurut hebahan itu, trafik dari Seafield menghala ke Shah Alam dilencongkan sementara ke Plaza Tol Shah Alam.
Sementara itu, PROLINTAS GCE menerusi hantaran di X memaklumkan banjir kilat di persimpangan NKVE pada jam 5.42 pagi.
Menurut pengendali lebuh raya berkenaan, susur Ramp B, Ramp C dan Ramp D ditutup sepenuhnya susulan kejadian itu.
Berikutan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi arahan petugas trafik dan menggunakan laluan alternatif yang disediakan.
Sementara itu, satu hantaran di Threads turut mendakwa sebuah jambatan berhampiran Jalan Gajah 16, menghala ke Paya Jaras, mengalami kerosakan sehingga laluan berkenaan tidak dapat dilalui.
Pengguna akaun @sabrinarzk__ yang berkongsi rakaman keadaan jalan itu mendakwa kejadian berkenaan turut menjejaskan laluan penduduk Paya Jaras yang mahu ke Kampung Kubu Gajah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




