JAKARTA – Banjir menenggelamkan 105 kawasan kediaman dan 19 jalan di Jakarta selepas hujan lebat sepanjang hujung minggu, manakala beberapa wilayah lain di seluruh Indonesia turut terjejas oleh banjir dan cuaca ekstrem, menurut Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB).
Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Abdul Muhari berkata banjir menjejaskan bahagian Jakarta Barat, Selatan dan Timur, dengan paras air antara 20 sentimeter (cm) hingga 170cm di beberapa lokasi.
Di Jakarta Barat, 26 kawasan kediaman terjejas dengan paras air antara 20cm hingga 100cm, manakala 22 kawasan kediaman di Jakarta Selatan dinaiki air, dengan banjir terburuk mencapai 170cm di Cipete Utara dan Pela Mampang.
“Di Jakarta Timur, 57 kawasan kediaman terjejas dengan paras air antara 25cm hingga 160cm,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 1.24 tengah hari waktu tempatan, Ahad.
Abdul Muhari berkata banjir juga dilaporkan di Kabupaten Serang, Banten, menjejaskan 160 isi rumah atau 489 orang di empat kampung selepas dua hari hujan lebat.
Di Kabupaten Parigi Moutong, Sulawesi Tengah, beliau berkata banjir menjejaskan 391 isi rumah atau 1,089 orang di kampung Moutong Tengah dan Moutong Utara, walaupun paras air telah mula surut.
Sementara itu, banjir di Kabupaten Bima, Nusa Tenggara Barat, menjejaskan 527 rumah, dua sekolah dan tiga pejabat kerajaan, serta menyebabkan satu jambatan runtuh di sembilan kampung dalam empat daerah.
Beliau berkata banjir juga dilaporkan di Kota Tangerang Selatan, Banten, membabitkan 660 rumah dan dua jalan dinaiki air di kampung Jurangmangu Barat dan Pondok Kacang Timur, dengan paras air antara 10cm hingga 40cm.
Selain banjir, Abdul Muhari berkata angin kencang dan cuaca ekstrem turut dilaporkan di beberapa wilayah, termasuk Jember, Jawa Timur, menyebabkan 19 rumah rosak dan seorang penduduk cedera ringan.
Beliau berkata kejadian serupa dilaporkan di Purbalingga, Jawa Tengah, iaitu 28 rumah rosak dan empat penduduk dipindahkan, serta di Cimahi, Jawa Barat, menyebabkan 126 isi rumah atau 378 orang terjejas akibat angin kencang yang merosakkan rumah dan bangunan lain.
Beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap bencana hidrometeorologi, terutamanya semasa tempoh hujan berpanjangan, dan menggesa penduduk memantau paras air sungai serta mengikuti kemas kini cuaca rasmi. – Bernama
Ringkasan AI
- Banjir menenggelamkan 105 kawasan kediaman dan 19 jalan di Jakarta selepas hujan lebat
- Banjir juga menjejaskan beberapa wilayah lain di seluruh Indonesia termasuk Kabupaten Serang, Parigi Moutong, dan Kabupaten Bima
- Paras air mencapai antara 20cm hingga 170cm di beberapa lokasi di Jakarta
- Banjir dilaporkan membabitkan kerosakan pada rumah, sekolah, pejabat kerajaan dan jambatan
- Kejadian angin kencang dan cuaca ekstrem turut dilaporkan di beberapa wilayah menyebabkan kerosakan pada bangunan dan kecederaan pada penduduk



