JEDDAH – Sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih belum dapat dikesan susulan banjir besar di Nepal, namun jumlah tersebut juga belum disahkan oleh pihak berkuasa negara itu, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, maklumat itu diterima daripada agensi pelancongan dan sedang dikumpulkan serta disemak oleh Kedutaan Malaysia di Kathmandu.
“Kita cuba menghubungi mereka tetapi tidak ada jawapan. Jadi, kita telah masukkan nama mereka dalam senarai yang masih hilang dan usaha sedang dilakukan oleh pihak keselamatan Nepal untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam temu bual bersama Bernama di sini pada Khamis.
Mohamad berada di sini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung hari ini.
Beliau berkata, usaha mengesan mereka menghadapi kesukaran berikutan laluan terjejas, selain jalan raya terputus dan jambatan musnah.
Katanya, berdasarkan laporan terkini yang diterima daripada Kedutaan Malaysia di Kathmandu dan Kementerian Luar Nepal, pihak berkuasa negara itu sedang menjalankan operasi SAR bagi mengesan mangsa yang masih hilang.
“Kita mendapat laporan banjir itu seperti tsunami daratan yang amat besar, menyebabkan kehilangan banyak nyawa dan ramai yang masih dilaporkan hilang,” katanya.
BERITA BERKAITAN: Banjir Nepal: Angka kematian meningkat 160 orang, lebih 680 masih hilang
Banjir Nepal: Lebih 50 rakyat Malaysia gagal dihubungi
95 maut, 484 hilang susulan banjir di utara Nepal
17 rakyat Malaysia antara ratusan hilang susulan banjir kilat di Nepal
Lebih 380 pelancong termasuk 291 warga asing hilang selepas banjir di Nepal
11 rakyat Malaysia tidak dapat dihubungi susulan banjir di Nepal – Wisma Putra
BERITA BERKAITAN: Banjir Nepal: ‘Doakan 9 pendaki Malaysia, mereka gagal dihubungi’
Banjir Nepal: ATM sedia digerakkan bagi misi kemanusiaan – Mohamed Khaled
Banjir Nepal: Angka rakyat Malaysia gagal dihubungi meningkat kepada 55 orang
Banjir Nepal: PM zahir dukacita, kerajaan giat kesan 54 rakyat Malaysia
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, Malaysia telah menghantar staf tambahan dari Dhaka, Bangladesh ke Kathmandu bagi membantu Kedutaan Malaysia mengurus situasi tersebut.
Staf tambahan akan membantu memantau perkembangan operasi, mengurus kebajikan rakyat Malaysia serta berurusan dengan pihak keselamatan Nepal.
“Kita telah menghantar staf tambahan dari Dhaka kerana dari situ hanya kira-kira satu jam sahaja untuk terbang ke Kathmandu,” katanya.
Mengenai kemungkinan Malaysia menghantar bantuan fizikal termasuk pasukan penyelamat, Mohamad berkata perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dalam pada itu, beliau menzahirkan simpati dan dukacita kepada keluarga rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan.
“Saya ingin menyampaikan rasa takziah dan dukacita saya kepada semua ahli keluarga rakyat Malaysia yang masih dalam kategori tidak dapat dikesan atau hilang.
“Kita doakan agar sesuatu keajaiban boleh berlaku dan kita dapat menemui mereka,” katanya. – Bernama