Banjir Nepal: Keluarga harap pasukan SMART dibenar bantu operasi SAR

Kuala Lumpur: Keluarga rakyat Malaysia yang gagal dihubungi susulan kejadian tanah runtuh dan banjir di sempadan Nepal-Tibet berharap Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dibenar menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr R Manivannan berkata, pasukan SMART mempunyai keupayaan serta kepakaran untuk membantu dalam operasi SAR, selain menilai keperluan bantuan susulan di lokasi kejadian.

“Sekiranya mereka telah meminta bantuan daripada India, China dan Korea Selatan, saya pasti pasukan SMART kita juga mempunyai keupayaan dan kepakaran yang sama.

“Mungkin apabila mereka tiba di sana kelak, pihak berkuasa Nepal akan membenarkan mereka untuk membantu,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun, Manivannan mempersoalkan keberkesanan pengurusan penghantaran pasukan itu sekiranya ia hanya dapat sampai ke kawasan terjejas selepas lebih seminggu tragedi itu berlaku.

Beliau berkata, pasukan SMART sepatutnya dihantar lebih awal supaya kepakaran mereka dapat dimanfaatkan sepenuhnya semasa peringkat kritikal operasi SAR.

“SMART akan menjadi lebih efektif sekiranya dihantar dalam tempoh 24, 48 atau 72 jam (selepas tragedi).

“Hari ini sudah masuk hari ke-9. Jika pasukan SMART tiba pada hari ke-11 dan digerakkan di lokasi, ia sudah memasuki hari ke-12 sejak insiden berlaku,” katanya.

Manivannan berkata, kehadiran pasukan Malaysia di Nepal juga penting bagi mendapatkan maklumat terkini secara terus daripada anggota di lapangan.

“Sekurang-kurangnya kita akan dapat menerima perkembangan terkini secara terus daripada anggota Malaysia di sana. Jadi, maklumat yang diperoleh adalah lebih tepat,” katanya.

Seramai 77 rakyat Malaysia yang ditemui selamat di Tibet dan Nepal susulan banjir kilat minggu lalu kini dibawa ke Kathmandu untuk proses penghantaran pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun, Jurucakap Kerajaan Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dikesan.

Banjir kilat dahsyat melanda daerah Rasuwa dan Nuwakot di Nepal pada 26 Ogos lalu, yang dipercayai berpunca daripada runtuhan glasiar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top