Banjir termenung Batu Pahat selesai sebelum Ramadan – MB

Banjir termenung Batu Pahat selesai sebelum Ramadan – MB

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri meningkatkan usaha bagi memastikan masalah banjir termenung khususnya di daerah Batu Pahat dapat diselesaikan sebelum Ramadan.

Untuk itu Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi meng­arahkan pam air bergerak dihantar bagi mengepam keluar air dari kawasan terlibat antaranya Sri Medan, Parit Jelutong dan Parit Raja.

“Kerajaan negeri tidak mahu isu banjir termenung ini berlanjutan bagi tempoh yang lama. Kita mahu isu itu dapat diselesaikan sebelum Ramadan ini,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Bagi mempercepat proses itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil pendekatan mengepam keluar air di kawasan tersebut.

“Sebanyak 61 pam air sedang beroperasi 24 jam manakala 12 lagi pam air akan ditambah.

“Mengambil iktibar daripada kejadian berlaku, kerajaan ne­geri mengusahakan alternatif lain untuk menyelesaikan isu ini termasuk mendalamkan sungai utama di daerah Batu Pahat.

Jumlah mang­sa terus berkurangan menjadi 21,079 orang daripada 6,031 keluarga yang masih menghuni 83 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat tengah hari semalam. – UTUSAN