kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dengan kerjasama Amanah Warisan Berhad (AWARIS), memperkenalkan perkhidmatan penulisan wasiat AWARIS melalui aplikasi BIMB Mobile, menjadikannya bank pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan penulisan wasiat melalui aplikasi perbankan mudah alih.
Pengarah Pengurusan Kekayaan Bank Islam, Datin Zaharah Abdul Muttalib berkata, inisiatif itu menandakan satu langkah penting dalam misi Bank Islam untuk memodenkan perkhidmatan pengurusan kekayaan dengan mengintegrasikan perkhidmatan nasihat dan perancangan legasi ke dalam platform digital.
Katanya, pelancaran itu juga mencerminkan komitmen berterusan Bank Islam dalam meningkatkan akses dan kemudahan pelanggan untuk menikmati penyelesaian kewangan patuh Syariah.
“Melalui pelancaran ini, Bank Islam menyasarkan untuk menggalakkan penggunaan dan penerimaan kemudahan digital dalam aspek perancangan harta, meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan penulisan wasiat serta mengukuhkan kedudukanya sebagai peneraju dalam penyelesaian pengurusan kekayaan digital patuh Syariah.
“Perkhidmatan Penulisan Wasiat AWARIS adalah komponen penting dalam strategi kami untuk memperluas penawaran pengurusan kekayaan Islam menyeluruh,” katanya di majlis pelancaran penulisan syariah pertama melalui BIMB Mobile di sini, hari ini.
Menurutnya, integrasi penyelesaian dalam BIMB Mobile itu juta membolehkan pelanggan mengurus kewangan dan perancangan legasi mereka dengan mudah, pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Beliau berkata, fungsi baharu penulisan wasiat ini disepadukan secara langsung dalam aplikasi perbankan mudah alih BIMB Mobile, selaras dengan piawaian keselamatan data dan tadbir urus Syariah ketat Bank Islam.
Diperkenalkan semasa Hari Penghargaan Pelanggan Kekayaan Bank Islam, pelancaran ini turut memberi peluang untuk berinteraksi dengan pelanggan bernilai tinggi serta mempamerkan inovasi berterusan Bank dalam perkhidmatan digital dan perancangan harta.
Zaharah berkata, Bank Islam akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan AWARIS bagi menyediakan penyelesaian perancangan harta yang komprehensif dan patuh Syariah.
“Kami percaya gabungan kepakaran dan sinergi kukuh antara kedua-dua pihak akan terus meningkatkan portfolio pengurusan kekayaan kami serta menyampaikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan.
“Seiring dengan usaha memperluas penggunaan penyelesaian digital patuh Syariah, kami akan terus mencari peluang dan meneroka potensi pasaran baharu bagi menyokong kesejahteraan serta memperkasakan komuniti melalui penyelesaian kewangan yang inklusif, mudah diakses dan selamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Urusan AWARIS, Prof Datuk Ahmad Saruji Abdul Aziz berkata, integrasi keupayaan penulisan wasiat AWARIS ke dalam platform BIMB Mobile adalah satu langkah transformasi dalam landskap perancangan harta digital di Malaysia.
“Kerjasama kami dengan Bank Islam didorong oleh visi bersama untuk menjadikan perancangan legasi patuh Syariah lebih mudah diakses dan intuitif.
“Dengan membawa perkhidmatan penting ini ke dalam persekitaran digital, kami memperkasakan individu untuk perancangan dan pengagihan harta secara bertanggungjawab adalah tonggak penting kesejahteraan kewangan yang menyeluruh,” katanya.
Mulai 8 April 2026, perkhidmatan Penulisan Wasiat AWARIS boleh diakses oleh semua pelanggan Bank Islam melalui bahagian Service Hub dalam aplikasi BIMB Mobile.
Direka untuk memudahkan urusan dan pematuhan piawaian, platform ini membolehkan pelanggan menyediakan wasiat mereka dengan selamat.
Bagi menggalakkan penggunaan, Bank Islam menawarkan harga promosi khas sebanyak RM300 untuk Pelan Platinum, eksklusif melalui BIMB Mobile. 250 pelanggan pertama yang melengkapkan permohonan juga akan menerima baucar Touch ‘n Go eWallet bernilai RM40.
© New Straits Times Press (M) Bhd




