Banteras rokok haram sebelum laksana pemutus generasi merokok

Banteras rokok haram sebelum laksana pemutus generasi merokok

PERDAGANGAN rokok haram masih menjadi masalah besar negara berikutan permintaan tinggi sehingga memberi keuntungan lumayan kepada sindiket. 

Bekas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Datuk Ramli Din, berkata permintaan terhadap rokok seludup meningkat kerana jurang harga yang sangat tinggi berbanding rokok sah. 

“Disebabkan tekanan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin meningkat, seorang perokok terutama yang berpendapatan rendah dapat membeli tiga bungkus rokok haram dengan harga sebungkus rokok yang sah. 

“Sudah tentu, seseorang boleh berhujah perokok harus berhenti merokok jika harga rokok sah terlalu tinggi. Namun, secara realistiknya, ketersediaan rokok terlarang murah yang meluas sebagai alternatif tidak menyediakan persekitaran kondusif untuk perokok berhenti,” katanya. 

Ramli turut memaklumkan kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan untuk menangani perdagangan rokok haram sejak 2021, termasuk sekatan ke atas pemindahan kapal dan aktiviti eksport produk tembakau.

Dengan pelbagai langkah yang baik diperkenalkan, beliau setuju jika ia terus dilaksanakan dan dikuatkuasakan sepenuhnya.

Bagaimanapun, sindiket dengan pantas turut mengubah modus operasi penyeludupan mereka.

“Penyeludupan melalui pemindahan kapal khususnya di perairan Selat Melaka dibawa masuk ke negara ini melalui jeti haram dan tempat mendarat semakin berleluasa,” katanya.

Menurut Ramli, berdasar pengalamannya selama 35 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), bentuk muka bumi negara yang sangat unik kerana mempunyai laluan udara, darat dan air yang luas menjadikannya sukar untuk dikawal. Malah, sempadan negara yang luas menjadikannya mudah diakses tanpa sekatan.

“Contoh ialah ‘jalan gajah (Jalan Gajah)’ yang terdapat di Sabah dan Sarawak. Jalan Gajah bermaksud jalan lebar yang tidak berturap dan boleh dilalui lori. 

“Terdapat banyak Jalan Gajah di Malaysia Timur yang digunakan oleh penyeludup. Ini cabaran utama pihak penguat kuasa dalam membanteras kegiatan penyeludupan,” katanya.

 Dato’ Ramli Din – FOTO NSTP/Hazreen Mohamad

Ditanya pandangannya mengenai rancangan kerajaan yang mengharamkan penjualan rokok kepada individu yang dilahirkan selepas 2005, beliau berkata rancangan itu bagus di atas kertas.

Namun begitu, banyak lagi aspek yang perlu difikirkan secara menyeluruh terutama daripada pihak penguat kuasa agar larangan itu berkesan.

“Malaysia sudah pun melaksanakan larangan penjualan rokok kepada remaja bawah 18 tahun, tetapi pada saya ia tidak berjaya kerana golongan bawah umur masih boleh membeli rokok dengan mudah terutama di kedai runcit yang diusahakan warga asing.

“Pelajar sekolah yang memakai pakaian sekolah juga boleh membeli rokok dan bebas menghisap rokok,” katanya.

Dalam pada itu, Ramli Din turut menyoal bagaimana larangan itu boleh dikuatkuasakan. 

“Jika tanggungjawab diberikan kepada peruncit sahaja, saya fikir ia tidak akan berjaya, seperti yang saya nyatakan sebelum ini tentang peraturan bawah 18 tahun.

Menurut Ramli, kerajaan juga harus melihat tindakan tatatertib yang dikenakan ke atas penjawat awam yang didapati menghisap rokok haram sebagai satu langkah dalam menangani masalah rokok haram.

“Saya tidak bermaksud menyokong orang yang menghisap rokok. Menghisap rokok tidak baik, tetapi menyokong industri haram adalah yang lebih teruk kerana ia menjejaskan pendapatan dan kesihatan negara kerana kandungan tidak terkawal dalam rokok haram.”

“Saya menyarankan kerajaan mempertimbangkan untuk melabur dalam teknologi terkini seperti rondaan menggunakan dron dan sebagainya untuk agensi penguatkuasaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd