Bantu ibu jual aiskrim tidak halang Afiq peroleh 5A SPM

Bantu ibu jual aiskrim tidak halang Afiq peroleh 5A SPM

Endau: Kehilangan bapa akibat kanser usus tiga tahun lalu tidak mematahkan semangat Tuan Nafiezul Afiq Tuan Iskandar, 18, untuk berjaya dalam pelajaran.

Anak sulung daripada empat beradik ini atau lebih dikenali Afiq, mengambil keputusan untuk sama-sama memikul beban ibunya, Normala Ali, dengan membantu menjual aiskrim Malaysia sambil mengulang kaji pelajaran.

Usaha dan niat murni Afiq terbalas apabila memperoleh keputusan 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.

Pencapaian itu amat bermakna bagi dirinya yang hanya memperoleh keputusan 3A dan gagal dalam satu subjek ketika percubaan SPM sebelum ini.

Menceritakan cabaran yang dilalui sebelum menduduki peperiksaan SPM, Afiq berkata sambil mengulang kaji pelajaran, dia akan bantu menyiapkan aiskrim untuk jualan sebelum menghantarnya ke kedai dan pusat jualan.

“Setiap hari, lebih kurang 200 batang aiskrim perlu disiapkan. Adik turut membantu, berikutan banyak tempahan diterima dan pelbagai perisa yang kami perlu sediakan,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Husin, Endau, Johor itu berkata, untuk menambah pendapatan seharian, ibunya juga tukang gunting rambut di rumah.

Katanya, kesungguhan ibu membesarkannya empat beradik menjadi inspirasi untuk belajar bersungguh-sungguh dan berjaya.

“Sejak kematian ayah, ibu terpaksa menguruskan kami adik beradik seorang diri. Ibu mahu kami semua berjaya dalam pelajaran. Walaupun tidak berapa sihat, ibu tidak pernah mengalah dan putus asa,” katanya.

Menurut Afiq, ibunya mempunyai masalah kesihatan usus sebelum ini tetapi kini semakin pulih selepas pembedahan.

Hasil keputusan SPM, Afiq, yang juga berbakat dalam bidang seni dan lukisan telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan Diploma Seni Reka Grafik di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Melaka.

Bantu ibu jual aiskrim tidak halang Afiq peroleh 5A SPM

“Alhamdulillah saya berjaya memperoleh 5A dan berpeluan melanjutkan pelajaran ke menara gading. Saya bersyukur atas rezeki ini,” katanya yang tidak menjangka perubahan mendadak pencapaian SPM itu selepas mengikuti Program Yayasan PETRONAS empower ECER Akademik.

Teknik ulang kaji berkesan

Afiq berkata, sebelum ini agak sukar baginya untuk menumpukan perhatian dalam pembelajaran, terutama sekali dalam mata pelajaran Matematik, namun semuanya berjaya diatasi.

“Melalui program tersebut, saya didedahkan dengan teknik mengulang kaji pelajaran secara berkesan, selain teknik menjawab soalan yang betul sebagai persiapan menghadapi SPM,” katanya.

Harapan Afiq agar program Yayasan PETRONAS empower ECER Akademik ini dapat diteruskan dan membantu ramai lagi pelajar di kawasan luar bandar sepertinya.

“Saya amat berterima kasih kerana terpilih untuk menyertai program ini dan seterusnya berjaya memanfaatkannya sebaiknya.

“Semoga program sebegini terus memberi motivasi dan semangat kepada pelajar luar bandar seperti saya, untuk mengejar cita-cita dan menghadapi cabaran hidup,” katanya.

Program Yayasan PETRONAS empower ECER Akademik adalah program akademik dengan objektif untuk menambah baik murid berprestasi rendah yang akan menduduki peperiksaan SPM melalui peningkatan prestasi akademik dan pembangunan peribadi untuk penempatan ke institusi pengajian tinggi, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) atau peluang keusahawanan.

Program ini juga menggunakan pendekatan serampang tiga mata yang melibatkan murid, ibu bapa dan guru.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top