Bantu kami putuskan rangkaian jangkitan COVID-19

Bantu kami putuskan rangkaian jangkitan COVID-19

zanariah_mutalib@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Petugas barisan hadapan kesihatan merayu rakyat negara ini terus patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang musim Aidilfitri ini, bagi memastikan rangkaian jangkitan COVID-19 berjaya diputuskan.

Mereka berharap rakyat menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan menjaga keselamatan diri dan keluarga supaya terhindar daripada wabak itu, dengan tidak membuat kunjungan ke rumah orang lain, memakai pelitup muka, sentiasa membersihkan tangan, mengamalkan penjarakan sosial dan mengelakkan berada di kawasan tertutup.

Pakar Nefrologi dan Perubatan Dalaman, Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah, berkata hanya dengan pematuhan SOP, anggota masyarakat terutama warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik boleh dilindungi daripada jangkitan wabak itu.

“Jika kita yang sihat mendapat jangkitan, kita mungkin tiada gejala, namun kita masih boleh menjadi pembawa.

“COVID-19 ini boleh menjangkiti mereka yang tua dan berpenyakit kronik. Golongan inilah yang paling berisiko dan jangkitan COVID-19 ini akan memudaratkan lagi kesihatan mereka.

“Walaupun ada yang tidak dapat berjumpa dengan ibu bapa di kampung, kita masih ada cara lain untuk menghubungi mereka. Ini jauh lebih baik daripada membahayakan kesihatan mereka,” katanya kepada BH, hari ini.

Dr Rafidah juga meminta rakyat kekal duduk di rumah jika tiada keperluan untuk keluar, selain mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

“Sebagai salah seorang anggota barisan hadapan yang bertugas pada Aidilfitri ini, saya merayu semua rakyat Malaysia bersama-sama kami dalam peperangan dengan musuh yang tidak nampak ini.

“Apa yang paling penting, daftarlah untuk vaksinasi dan nasihatkan juga ahli keluarga untuk berbuat demikian. Vaksin saja yang boleh mengeluarkan negara ini daripada belenggu COVID-19.

“Tolonglah kami untuk menolong anda. Walau bagaimana penat pun menggalas tugas di hospital, kami akan terus memberi perkhidmatan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Prof Madya Dr Muhammad Mohd Isa, berkata rakyat perlu peka dengan situasi semasa, yang mana jumlah kes COVID-19 berada pada tahap amat membimbangkan dan kewujudan varian baharu yang lebih mudah menjangkiti.

“Dalam keadaan amat genting ini, rakyat perlu memainkan peranan untuk membantu kerajaan menghentikan penularan wabak ini.

“Jumlah katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) amat terhad. Dalam situasi biasa, ia lebih daripada mencukupi, namun apabila ramai dijangkiti, kita berdepan kesukaran tidak cukup katil dan peralatan perubatan lain, yang boleh menjejaskan perkhidmatan kesihatan kita,” katanya.

Dr Muhammad berkata, HPUPM sebelum ini hanya merawat pesakit bukan COVID-19 yang dirujuk oleh hospital lain, selepas hospital berkenaan memberi tumpuan kepada pesakit COVID-19, namun disebabkan jumlah pesakit dijangkiti virus semakin ramai, sebahagian mereka turut dirujuk ke HPUPMbaru-baru ini.

Katanya, Kementerian Kesihatan sedang berusaha untuk menambah kemudahan di HPUPM termasuk katil ICU sebagai langkah persediaan jika lebih ramai pesakit terpaksa dibawa ke hospital itu.

“Maka, patuhilah segala SOP ditetapkan kerana COVID-19 membawa kematian,” katanya.

Penolong Pegawai Perubatan, Hospital Putrajaya, Shahrom Shahrin, pula berharap setiap anggota masyarakat mempunyai sikap tanggungjawab untuk melindungi keluarga mereka.

“Tunjukkan kasih sayang kepada ibu bapa, saudara dan sahabat dengan tidak saling mengunjungi kerana sikap ini dapat membendung wabak COVID-19 daripada terus merebak.

“Dalam usaha mengawal wabak ini, kepercayaan agama, budaya dan adat amat penting. Integrasi agama dan budaya sebenarnya tidak bercanggah, yang bercanggah adalah kurang kefahaman dan ilmu dalam membendung wabak ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top