am@hmetro.com.my
Papar: Dua pemandu lori maut selepas dirempuh kenderaan ketika menukar tayar di tepi jalan dalam kejadian di Kilometer 9, Lebuhraya Pan Borneo, dekat Nagapas, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 2 petang, mangsa lelaki berusia 26 tahun dikatakan berhenti di tepi jalan untuk membantu rakannya berusia 62 tahun untuk menukar tayar lori.
Bagaimanapun kedua-dua mereka dirempuh sebuah kereta lain ketika sedang menukar tayar dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati ketika pemandu lori berusia 62 tahun berhenti di bahu kiri jalan dan turun dari lori kerana mengalami masalah tayar.
Katanya, ketika hendak menukar tayar, mangsa dibantu rakannya yang juga pemandu lori yang berlainan yang singgah membantu mangsa.
“Tiba-tiba sebuah Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 23 tahun dari arah Kota Kinabalu menuju ke arah Kimanis hilang kawalan lalu melanggar kedua-dua mangsa.
“Akibatnya, Proton Saga kemudiannya terbalik di sebelah kiri jalan.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Papar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pemandu dan penumpang Proton Saga dibawa ke Hospital Papar untuk menerima rawatan kerana mengalami cedera ringan.
“Mayat kedua-dua mangsa di bawa ke Unit Forensik, Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat.
“Siasatan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




