Bantuan lambat, pemain liga Greece meninggal dunia

Bantuan lambat, pemain liga Greece meninggal dunia

ATHENS, Greece: Pemain bola sepak Greece Alexandro Lampis, 21, meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung ketika dalam perlawanan selepas kegagalan penganjur menyediakan defibrillator atau ambulans di stadium.

Lampis bermain untuk kelab divisyen tiga Ilioupoli. Ketika permainan berbaki lima minit, pemain tengah itu dilaporkan tumbang.

Malangnya, tiada alat bantuan kecemasan untuk membantunya di atas padang dan ambulans hanya tiba 20 minit kemudian.

“Saudara kami, kawan kami, Aleko, anda pergi dengan cara tidak sepatutnya. Seluruh pasukan, seluruh kota, menangisi pemergian anda.

“Tiada kata-kata yang boleh diucapkan… hanya penderitaan dan kesedihan. Selamat jalan Alecara,” kata kelabnya.

Insiden berkenaan hadir selepas lapan bulan Christian Eriksen mengalami perkara sama ketika beraksi untuk Denmark di Euro 2020.

Bagaimanapun, doktor-doktor dan pasukan perubatan bertindak pantas melakukan bantuan pernafasa untuk memastikan jantungnya kembali berfungsi.

Eriksen kemudian pulih sepenuhnya selepas rawatan di hospital dan menandatangani kontrak enam bulan bersama Brentford minggu ini dalam usahanya kembali ke bola sepak profesional.

Dalam insiden lain, Sergio Aguero terpaksa bersara selepas dadanya sakit ketika beraksi untuk Barcelona manakala Victor Lindelof dan Pierre-Emerick Aubameyang juga berdepan situasi mendebarkan akibat masalah jantung. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top