am@hmetro.com.my
Gua Musang: Seorang bapa dikhuatiri lemas selepas menyelamatkan anaknya yang hampir di Sungai Lebir, di sini, hari ini.
Mangsa, Mohamad Fakarudin Abdul Halim@Awang, 40, berjaya menyelamatkan anaknya yang hampir lemas, namun dia kemudian tenggelam dan dihanyutkan arus deras.
Komander Operasi, Nik Mohd Fakri Md Nawi berkata pihaknya, menerima panggilan jam 5.04 petang mengenai kejadian.
Katanya, seramai lapan anggota dan dua jentera bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh 64 kilometer (km) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang.
“Kami tiba di lokasi kira-kira 5.30 petang dan mendapati kejadian lemas membabitkan seorang lelaki yang dikatakan cuba menyelamatkan anaknya yang hampir lemas.
“Mangsa berjaya menyelamatkan anaknya, namun mangsa tenggelam dan hanyut tidak dapat dikesan kerana air dan arus yang deras serta dalam.
“Anggota penyelamat membuat pencarian di kawasan permukaan air untuk mencari mangsa,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Nik Mohd Fakri berkata, mangsa gagal dikesan, dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan jam 7.46 petang, dan disambung pada esok pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd

