M Jamil bersyukur, terharu atas keprihatinan Ahmad Zahid dan isteri

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Subang Jaya : “Terima kasih Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis kerana membantu,” kata pengarah dan pelakon veteran, Mohamad Jamil Zulkifli atau M Jamil.

M Jamil juga anak kepada seniwati legenda Datuk Sarimah Ahmad itu ditemui semasa menerima kunjungan Datin Seri Hamidah dalam Program Sumbangan Santunan Kasih Ayahanda Bonda, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi & Datin Seri Hamidah Khamis di kediamannya di sini, hari ini.

M Jamil yang mengalami strok sejak lapan tahun lalu, kini hanya mampu terbaring di atas katil selepas menjalani pembedahan memotong kaki kiri yang reput akibat diabetes kronik pada hujung Julai lalu.

Beliau ini tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan akibat masalah kesihatan itu.

Sebelum ini hanya jari kelingking kirinya yang reput atau gangren, hingga terpaksa dipotong.

Bagaimanapun doktor mendapati ada kuman dalam darah menyebabkan luka tidak boleh sembuh hingga terpaksa membuat keputusan memotong kaki kiri sehingga paras bawah lutut M Jamil bagi menyelamatkan nyawanya.

M Jamil yang mengagumi ketokohan pasangan pemimpin itu mendoakan kesejahteraan mereka dan berharap supaya kerjaya diceburi terus bersinar pada masa akan datang.

“Saya mendoakan agar Datuk Seri Zahid dan Datuk Seri Hamidah kekal sihat dan panjang umur. Juga moga karier politik beliau kekal sukses selamanya.

“Tahniah Datuk Seri kerana berjaya capai kemenangan dalam Pilihanraya Negeri Johor dan Negeri Sembilan, Kalau saya sihat nanti, saya teringin nak jadi tukang kempen beliau,” katanya bergurau.

Sementara itu, Hamidah yang ditemani oleh pasangan suami isteri, Datuk Den Wahab dan Datin Nora Tamam, hadir mewakili suaminya bagi menyerahkan sumbangan berupa bakul makanan dan wang kepada M Jamil.

Beliau turut menasihatkan pelakon filem Ranjau Sepanjang Jalan ini agar terus menjaga kesihatan serta menjalani fisioterapi sebagai cara untuknya pulih dari strok.

Menurutnya Program Sumbangan Santunan Kasih Ayahanda Bonda, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi & Datin Seri Hamidah Khamis sudah lama diperkenalkan dan mereka sudah banyak membantu semua golongan masyarakat termasuk golongan artis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top