Bapa harap isu dilalui Hafidz Roshdi selesai cara baik – “Kami bukan seperti yang difitnah”

Bapa harap isu dilalui Hafidz Roshdi selesai cara baik – “Kami bukan seperti yang difitnah”

Bapa pelakon kontroversi, Hafidz Roshdi iaitu Roshdi Ahmad berharap konflik rumah tangga dilalui anaknya bersama isteri Nurul Shuhada Mat Shukri dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Menurut laporan Sinar Harian, namun dia menyerahkan insiden Nurul Shuhada ditumbuk oleh anaknya kepada pihak mahkamah untuk diadili sewajarnya.

“Sekarang kes ini sedang diadili dan kita doakan yang terbaik. InsyaALLAH kita (keluarga) juga akan selesaikan masalah ini dengan cara terbaik,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor hari ini.

Sebelum itu, Roshdi menemani anaknya yang berusia 29 tahun itu atas pertuduhan menumbuk sehingga mencederakan wajah Nurul Shuhada dalam satu kejadian di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya pada 2 Mac lalu.

Walau bagaimanapun, pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu mengaku tidak bersalah dan diikat jamin sebanyak RM4,000 selain perlu dihantar ke Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan, Perak untuk menjalani rawatan psikiatri.

Mengulas lanjut, Roshdi berharap isu yang tidak berkaitan dengan pertuduhan mahkamah tersebut tidak terus dibangkitkan oleh sebarang pihak.

“Bagi isu yang tak patut dibangkitkan sepatutnya kita elakkan kerana pada saya ia boleh beri kesan tidak baik. Ia menjejaskan nama baik (keluarga) dan ia perlu dihentikan
“Kami bukan seperti yang difitnah. Orang kenal kami dan selama ini kami cuma berdiam (diri),” ujarnya.

Terdahulu, Hafidz menjadi bualan hangat warganet apabila didakwa berlaku curang sebelum melafazkan cerai terhadap isterinya melalui panggilan telefon dengan bersaksikan keluarga pada 22 Februari lalu.

Untuk rekod, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 2.

Sumber: Sinar Harian (Raiham Mohd Sanusi), Instagram Sinar Harian & Hafidz Roshdi