Malaysia pertaruh 677 atlet ke Kemboja

Malaysia pertaruh 677 atlet ke Kemboja

MALAYSIA akan menghantar kontinjen seramai 677 atlet dipacu 237 pegawai bagi menyahut cabaran pada Sukan SEA 2023 di Kemboja dari 5 hingga 17 Mei depan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, penyertaan kontinjen Malaysia pada temasya Sukan SEA kali ini dibarisi majoriti atlet muda.

“Menerusi proses saringan dalam Jawatankuasa Pemilihan MOM yang bersidang pada 14 Februari dan 3 Mac lalu, hanya 390 atlet dan 150 pegawai memenuhi kriteria kelayakan Kategori A.

“Namun, Jawatankuasa Pemilihan MOM bersetuju meluluskan penyertaan 287 atlet dan 87 pegawai pasukan mengikut Kategori B selepas mengambil kira permohonan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) dengan syarat persatuan membiayai latihan dan perjalanan ke Kemboja.

“Senarai atlet dan pegawai pasukan ini termasuk wakil tujuh persatuan bukan ahli gabungan MOM iaitu finswimming, catur xiangqi, E-sports, jetski, sukan tempur – jiujitsu, kickboxing dan obstacle race,” katanya selepas penyerahkan watikah pemilihan kepada wakil kepada atlet dan pegawai kontinjen negara di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya pada Isnin.

Hadir sama Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan SEA Kemboja 2023, Datuk Mohd Nasir Ali serta dua timbalannya, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee.

Untuk rekod, olahraga membentuk skuad terbesar ke Kemboja dengan penyertaan seramai 34 atlet yang layak mengikut Kategori A, manakala 31 atlet lagi di bawah Kategori B.

Majoriti anggota kontinjen merangkumi sukan berpasukan seperti badminton, bola keranjang, kriket, floorball, bola sepak, hoki padang, hoki dalam dewan dan bola tampar.

Menurut Mohamad Norza, kategori A bagi atlet individu mestilah sekurang-kurangnya berada dalam kedudukan tiga teratas dalam acara masing-masing dan empat kedudukan teratas bagi atlet berpasukan dalam ranking Asia Tenggara.

“Bagi Kategori B atlet individu dan berpasukan Bawah 23 tahun mestilah berada dalam enam kedudukan teratas acara masing-masing dalam senarai ranking Asia Tenggara berbanding lapan kedudukan teratas kriteria terdahulu.

“MOM juga memberi kelonggaran kepada atlet muda yang beraksi cemerlang di Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 dan berada dalam kedudukan enam teratas di Asia Tenggara, untuk disenaraikan di bawah Kategori B sebagai proses pendedahan menjelang Sukan Asia Tenggara Ke-33 Bangkok 2025 dan Sukan SEA Ke-34 Kuala Lumpur 2027.

“Kebenaran yang diberikan dan pemilihan ini jangan dipersia-siakan kerana Sukan SEA menjadi medan pengenalan ke sukan antarabangsa sebelum mengintai peluang ke Sukan Asia dan Sukan Olimpik. Peluang ini harus direbut,” katanya yang memaklumkan sasaran pingat akan diumumkan pada April ini.