redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kota Bharu: “Bukan tak usaha kerana hampir setiap hari saya keluar cari kerja cuma belum ada yang nak terima.
“Disebabkan tak ada duit, saya terpaksa cari sisa makanan di kedai makan kerana nak bagi anak dengan isteri makan,”.
Demikian rintihan Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, Ab Hamid Othman, 51, yang dulunya mencari rezeki dengan mengutip barangan terbuang dan terpakai daripada tong sampah untuk menyara keluarga.
Bagaimanapun, kehidupan Ab Hamid semakin sukar selepas tidak dapat keluar mencari rezeki kerana masalah pergerakan akibat terbabit dalam kemalangan baru-baru ini.
Keadaan itu menyebabkannya buntu kerana perlu menyara isteri, Suraya Hasan, 43, dan enam anak berumur tujuh hingga 20 tahun selain membayar tunggakan rumah sewa di Kampung Jaya Setia, Pantai Cahaya Bulan dekat sini.
“Keadaan kami sekeluarga semakin teruk sejak saya tidak dapat bekerja dan sewa (rumah) pun tertunggak sampai pemilik terpaksa minta kami kosongkan rumah dengan segera.
“Saya memang tiada duit dan kasihan dengan anak terutama yang kecil kerana nak tidur pun tak boleh sebab kelaparan.
“Sebagai bapa dan ketua keluarga, saya berasa tak berguna kerana tak dapat nak cari makanan buat mereka,” katanya kepada Harian Metro.
Ab Hamid berkata, sekiranya sihat dan diberi peluang bekerja, dia tentunya akan mengerah keringat untuk mencari rezeki buat keluarga.
Sebaliknya, faktor usia dan statusnya sebagai OKU akibat masalah kebas tangan sejak tujuh tahun lalu yang mungkin menjadi halangan untuk majikan mengambilnya bekerja.
“Disebabkan itu, saya usaha mencari barang terbuang dan terpakai di sekitar tempat pembuangan sampah kawasan perumahan sebelum ini untuk dijual.
“Pendapatan memang tak menentu kerana ada hari ada tiada langsung tapi sekurang-kurangnya dulu, saya boleh bekerja.
“Sekarang nak jalan pun tak mampu. Tapi waktu boleh berjalan sebelum ini, saya keluar juga cari kerja dan pernah singgah pasar kemudian ada yang sedekahkan kuih dan lebihan nasi tak habis dijual.
“Balik ke rumah, saya nampak muka anak yang kelaparan gembira tapi sayangnya kuih dan makanan sudah tak boleh dimakan sudah basi,” katanya.
Ab Hamid berkata, dia juga sudah tidak menerima elaun bulanan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Jadi saya kena usaha sendiri dan harap sangat ada pihak yang dapat membantu.
“Saya malu nak meminta-minta tapi terpaksa kerana memikirkan anak dan isteri. Biar saya yang berlapar tapi bukan mereka, katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0310029816476094 atas nama Suraya Hassan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




