am@hmetro.com.my
Tawau: Perbuatan terkutuk lelaki yang merogol anak kandung ketika isterinya sedang menunggu masa untuk bersalin, akhirnya dibalas dengan dia dihukum penjara 20 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hukuman diputuskan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh berusia 43 tahun yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling selain pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat tempoh penjara yang berkuat kuasa dari tarikh tangkapan.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang juga nelayan itu didakwa merogol anak kandung berumur enam tahun (ketika kejadian) di rumah mereka di Semporna pada 12 Ogos 2014.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika isteri tertuduh berada di Hospital Semporna, menunggu masa untuk melahirkan anak kelima.
Ketika kejadian juga mangsa sendirian di rumah bersama tertuduh, manakala adik-beradik lain ke rumah nenek mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd