Koperal polis maut dirempuh suspek pecah rumah

Koperal polis maut dirempuh suspek pecah rumah

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Anggota polis maut dirempuh kenderaan dinaiki penjenayah yang cuba melarikan diri selepas dipercayai melakukan pecah rumah, berhampiran Taman Golf di sini, hari ini.

Mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Datuk Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang selepas pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai aktiviti mencurigakan di rumah terbabit.

“Lima anggota dari JSJ Kedah digerakkan ke lokasi dengan dua kenderaan dan sebaik tiba suspek didapati cuba mencuri peti besi dari rumah berkenaan.

“Salah seorang suspek yang memandu Lexus bertindak melanggar mangsa yang baru keluar dari kenderaan.

“Mangsa dirempuh dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di lokasi hari ini.

Adzli berkata, seorang daripada suspek berjaya ditahan di tempat kejadian manakala tiga lagi melarikan diri menggunakan kenderaan sama, yang mengalami kerosakan akibat pelanggaran itu.

Katanya, ketiga-tiga mereka berjaya diberkas kurang sejam kemudian di kawasan Kepala Batas, Jitra.

“Dalam cubaan melarikan diri itu, kumpulan terbabit turut mencuri sebuah lagi kenderaan orang awam.

“Kesemua suspek, berusia antara 24 hingga 26 tahun, dipercayai berasal dari Johor.

“Semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai 77 rekod lampau, kebanyakannya membabitkan kes pecah rumah dan curi kenderaan,” katanya.

Menurutnya, dua lagi masing-masing mempunyai 30 serta enam rekod lampau, manakala seorang lagi mempunyai dua.

Katanya, modus operandi mereka menunjukkan ia kumpulan pecah rumah bergerak antara negeri.

“Kami sedang menyiasat sama ada serbuan ini dilakukan secara rambang atau berdasarkan maklumat dalaman.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan umpil dan kerosakan pada pintu rumah terbabit, namun tiada penghuni berada di rumah semasa kejadian.

“Kedua-dua kenderaan termasuk yang digunakan untuk merempuh anggota dan satu lagi yang dicuri berjaya ditemui semula,” katanya.

Mohd Hafizul yang berasal dari Setiu, Terengganu, meninggalkan seorang isteri dan empat anak berusia antara empat hingga 11 tahun dan urusan pengebumian sedang diatur.

“Beliau gugur ketika bertugas. Kehilangannya amat dirasai oleh seluruh pasukan. Kita akan pastikan keadilan ditegakkan,” katanya.

Adzli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 457 kerana menceroboh dan pecah rumah.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian atau keluarga mangsa.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan oleh saya atau pegawai saya sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top