am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Barangan yang rosak disebabkan letupan paip gas dan kejadian banjir di Putra Heights, Subaang Jaya baru-baru ini masih mempunyai nilai pasaran sekiranya dibaik pulih dengan betul.
Pembantu kedai perabot terpakai Nussa Furniture, Ahmed Saref berkata, insiden terbabit sebenarnya secara tidak langsung membuka ruang kepada pekedai untuk mendapatkan stok.
Menurutnya, barangan yang rosak masih mempunyai nilai pasaran jika dibaik pulih dengan baik, malah permintaan terhadap barangan ‘refurbished’ semakin meningkat dalam kalangan pengguna yang mencari alternatif lebih menjimatkan.
“Kami ada menerima pertanyaan sejak kejadian terbabit, khususnya membabitkan pembelian perabot kayu, set sofa dan mesin elektrik.
“Kami akan tapis barangan yang masih boleh dibaiki. Jika perabot terbabit hanya rosak dari segi kusyen atau permukaan, kita boleh buat baiki dan untuk barangan elektrik pula akan diuji dan dibaiki sepenuhnya sebelum dijual semula,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, harga belian bergantung kepada tahap kerosakan, namun biasanya perabot akan dibeli serendah RM30 hingga RM150, manakala barangan elektrik antara RM20 hingga RM200 bergantung jenama dan keadaan.
Sementara itu, pengusaha perabot terpakai yang hanya mahu dikenali sebagai Hanafi berkata, proses pembelian barangan rosak dari rumah pemilik akan terus dilakukan secara tunai atau pemindahan bank selepas barangan diperiksa.
“Jika ada barangan yang memang tidak boleh digunakan langsung, kami tidak akan terima, semua bergantung terhadap keadaan barangan itu sendiri tidak kisah ia sudah terkena banjir atau terbakar,” katanya.
Bagaimanapun, ada pengguna yang memilih untuk untuk tidak membeli barangan daripada lokasi letupan terbabit berikutan bimbang risiko keselamatan jangka panjang.
Bagi Nuranis Ali, 37 mengakui dia tidak berani mengambil risiko membeli barangan akibat letupan gas kerana risau terdapat kesan bahaya terhadap kesihatan.
Menurutnya, biarpun memahami keperluan sesetengah keluarga mencari alternatif lebih murah, aspek keselamatan masih jadi keutamaannya.
“Sekiranya barangan itu betul-betul selamat dan masih elok, boleh saja dijual, cuma saya harap peniaga pun jujur dan periksa betul-betul sebelum jual balik pada orang ramai,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Ridzwan Mohammad, 40, berkata, dia akan meneliti barangan di kedai terpakai sebelum membuat keputusan untuk membeli.
“Saya tengok dulu keadaan barang sebelum beli dan tidak kisah ia datang dari mana sama ada pernah terkena banjir atau disebabkan kerosakan lain.
“Paling penting kita tahu barang dibeli masih boleh diguna untuk jangka lama dan berbaloi dengan harga dibeli,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




