Barcelona: Pendahulu La Liga, Barcelona mengalu-alukan kedatangan Atletico Madrid ke Camp Nou awal pagi Isnin ini dan perlu melakukan perkara yang tepat jika ingin merangkul kejuaraan.
Dengan kelebihan 11 mata mengatasi pasukan di tangga kedua Real Madrid, Barcelona kini sebelah tangan untuk menjulang trofi namun kehilangan mata penting selepas mencatatkan keputusan seri 0-0 menentang Girona dan Getafe.
Skuad Xavi mendapat tamparan hebat selepas Madrid menyingkirkan mereka dari Copa del Rey apabila tewas 0-4 di Camp Nou.
Bagaimanapun perkara di luar padang lebih mencuri tumpuan ketika ini dengan presiden Joan Laporta akan menjelaskan salah laku dalam skandal pengadilan berhubung “kes Negreira” dan potensi kepulangan Lionel Messi dari Paris Saint-Germain.
Laporta juga berkata beliau mahu memperbaharui kontrak Xavi, tetapi jurulatih itu mahu pasukannya menyelesaikan tugas dengan memenangi La Liga sebelum dia melakukan perbincangan mengenai perjanjian baharu atau membincangkan pembelian musim panas.
“Apabila menang La Liga kami akan meraikan tetapi kami belum menang. Kami perlu memenanginya,” katanya.
Sementara itu penyerang Barcelona Robert Lewandowski hanya menjaringkan dua gol dalam tujuh perlawanan terakhirnya dalam semua pertandingan – kedua-duanya menentang Elche di tangga tercorot.
Kemarau jaringannya adalah salah satu faktor yang menyebabkan Barcelona seri tanpa jaringan berturut-turut di liga teratas buat kali pertama sejak 2005.
© New Straits Times Press (M) Bhd
