am@hmetro.com.my
Kuala Nerang: “Baru saja kami sekeluarga sambut Hari Raya Aidilfitri di rumah ini awal bulan ini tetapi semuanya habis musnah terbakar petang semalam,” kata Hashim Abdul Rashid, 66.
Dalam kejadian itu, rumah milik Hashim di Kampung Kubang Palas di sini, musnah dalam kebakaran kira-kira 6 petang.
Menurutnya, ketika kejadian, dia dan isteri, Zaiton Ali, 65, di kedai runcit milik mereka, kira-kira dua kilometer dari rumah itu.
Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh anak saudaranya yang rumah mereka terbakar menyebabkan dia bergegas ke lokasi.
“Masa itu masih hujan lebat, tetapi benda nak jadi, sebaik saya sampai rumah dah habis terbakar.
“Mujur anak bongsu saya sudah pulang ke asrama sekolahnya petang tadi, jika tidak saya tahulah nak cakap kerana biasanya dia duduk sekolah diri di rumah kalau pulang bercuti kerana saya dan isteri tinggal di kedai runcit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hashim berkata, dia mempunyai tujuh anak yang kesemuanya sudah tinggal berasingan, namun apabila ada kenduri atau sambutan hari raya, rumah itulah tempat mereka berkumpul sekeluarga.
Katanya, dia menganggarkan kerugian besar kerana semua barangan elektrik dan perabot serta sebahagian rumah itu musnah.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Aminuddin Mad Khozali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 6.08 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Kuala Nerang yang diketuai Azizan Jusoh tiba di lokasi bersama tujuh anggota tidak lama kemudian.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah satu tingkat separa kekal yang mengakibatkan kemusnahan 90 peratus.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dan api berjaya dikawal pada 6.45 petang. Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd