
Rexy Mainaky. Foto fail Bernama
PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui mental pemain negara sedikit ‘goyah’ selepas terpaksa berhadapan dengan perubahan taktikal pada aksi final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 menentang China, pada Ahad.
Situasi itu berlaku apabila dua tonggak perseorangan utama negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong direhatkan susulan tidak berada dalam keadaan cergas sepenuhnya kerana difahamkan masing-masing mengalami kesukaran bernafas akibat resdung dan kecederaan belakang.
“Memang ya (pemain rasa goyah melihat senarai pemain). Kita ambil contoh dalam bola sepak yang ada Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi, apabila tiba-tiba tidak ada pasti ada kesan dan (berfikir) siapa mahu jaringkan gol.
“Perjalanan (di final) pasti ada tekanan kerana tidak boleh terlepas satu perlawanan (untuk sumbang mata) tidak kira perseorangan mahupun beregu supaya tidak sampai ke set penentuan. Kalau sudah sampai (set penentuan) kita boleh cakap segalanya tidak mustahil berlaku,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Setia City di sini pada Ahad.



